Tuesday, March 18, 2003

That One Not Enough. Cerita cina Singapura. Intro mulanya kurang menarik tetapi ceritanya agak menarik. Kisah masyarakat dan hubungan keluarga, suami dan isteri. Cara olahannya amat bersahaja tetapi amat relevan dengan realiti masyarakat. Keluarga si adik mempunyai Isteri yang setia menjaga tiga orang anak, sehingga penampilan kurang terjaga. Suami yang suka berpoya-poya dan bangga dengan perbuatannya. Keluarga si abang, tidak mempunyai anak dan isteri sentiasa sibuk dengan kerja pejabat. Selalu tiada masa dan penat untuk melayan kehendak suami di rumah. Satu retorika dan kritikan sosial yang tajam dalam bentuk komedi.

Perbuatan curang yang dikesan, sehingga memporak perandakan keluarga. Si isteri yang dipenjara kerana dituduh memukul wanita simpanan suaminya. Anak-anak menderita. Insaf sekejap tetapi mengulangi perlakuan curangnya dengan lebih berhati-hati. Si abang yang kerap mendengar cerita si adik, terdorong untuk berlaku curang lantaran tidak tahan dengan layanan buruk si isteri. Si isteri tidak berpuas hati dengan suami yang asyik menyebelahi ibunya. Curang bersama setiausahanya sendiri yang amat dipercayainya.

Realiti yang berlaku dalam masyarakat. Mungkin banyak sudah kita baca dan baca. Mungkin juga telah banyak kita mendengar formula dan saranan bagi mewujudkan sebuah keluarga yang utuh. Pun begitu dirasakan harus dinyatakan sekali lagi. Biar diulang-ulang banyak kali. Mungkin yang satu ini akan melekat di benak manusia. Formula keutuhan keluarga.

Lelaki dan wanita yang ingin berkahwin perlu ada matlamat yang sama. Tunggaknya mestilah iman. Matlamatnya untuk membina sebuah keluarga yang diredhai oleh Allah. Itu tiang seri sebuah perkahwinan. Jika tiang serinya tidak kukuh,pasti dinding atau bumbungnya akan goyang. Kemudian sifat tolak ansur dan sabar adalah faktor utama kebahagian dan kemanisan rumah tangga. Tidak semua sifat yang ada pada isteri disukai suami, begitu juga isteri. bertolak ansur dan bertimbangrasa. Timbang perasaan pasangan masing-masing sebelum mengambil keputusan apa-apa.

Sudah menjadi lumrah sebuah hubungan mesti ada cabarannya. Dugaan kadang-kadang datang bertimpa-timpa tanpa tanda. Berpegang teguhlah kepada tiang seri. Biar rosak dinding dan bumbung, tiang seri mesti utuh. Dinding dan bumbung boleh dibina kembali. Lelaki yang punyai lebih kudrat menjaga tiang seri ini. Jangan sampai isteri yang mengambil alih tugasnya. Lelaki perlu lebih kuat. Perlu lebih tahu. Mesti lebih hikmah. Barulah isteri terdidik baik. Jangan sampai sejarah melakarkan orang lelaki zaman ini tidak boleh dipercayai. Sampai begitu galak berkempen sebegitu.

Lelaki mesti menanggung beban ini. Walau perit dan isteri terpaksa bekerja. Tolak ansur mestilah lebih tinggi. Jangan terlalu mengharap layanan sentiasa hebat. Si isteri janganlah lupa walaupun penat, untuk melayan suami. Kadang-kadang perbuatan kecil sudah cukup untuk menghilangkan letih suami. Suami pula ringankan mulut memuji isteri. Zaman ini bukan zaman ibu datuk nenek kita. Dulu datuk nenek kita membuka kawasan hutan dengan kudrat kedua belah tangan sahaja. Mengerjakan bendang dua tiga relong dengan tangan sendiri. Zaman sudah berubah. Kita kena berubah dan mengubah keadaan. Jangan lupakan tiang seri. Jatuh tegak adalah di bahu kita.

No comments: