Wednesday, December 31, 2003

Majlis akad nikah diadakan di Masjid Sultan Abu Bakar, JB. Masjid mercu tanda JB. Pagi itu cuacanya amat baik. Redup sahaja cuma kadangkala panas tidak berapa terik. Kami sudah sampai jam 9.30 pagi lagi. Aku membawa pengantin perempuan. Rasanya pemanduanku pada waktu itu boleh menang anugerah pemandu berhemat kerana lemah lembut menekan minyak kereta dan kelajuan di bawah paras had laju.

Kemudian memandu ke flat Larkin bertemankan adik ipar bongsu yang baru bertunang dua hari lepas. Aku masih tidak mahir jalan di JB ini. Risiko sesat amatlah bahaya untuk diambil terutama dalam pengendalian majlis penting begini. Sempat perasan Maktab Abu Bakar, tempat belajar TOK RIMAU. Hebat bangunan sekolahnya. Memang elit gayanya.

Sampai di Larkin, mencari ruang parking kerana diminta naik ke atas dahulu. Kalau diikutkan praktikalnya, baik menunggu di bawah sahaja. Kerana nak bawa orang tua, Tok Sedara tua, abang arwah mertuaku, terpaksa parking dulu. Sistem parking di Larkin mmg hebat. siapapun boleh parking depan kereta org tetapi dgn syarat jgn tarik handbrake dan neutralkan gear. Pastu main tolak je kalau nak keluar. Kadang-kadang dua tiga kereta kena tolak. Kejadian mencium punggung amatlah biasa dilihat di sini.

Majlis diatur jam 10 pagi. Baru sahaja nak keluar dari Larkin, orang di masjid telefon bahawa imam sudah sampai sedangkan walinya ada bersamaku. Mujurlah perjalanannya singkat sahaja. Sempat sampai dalam waktunya.

Pertama kali aku menghadiri majlis akad di masjid. Suasananya aman mendamaikan. Terasa nak nikah sekali lagi pulak. hehehe.. sabo je lah. Aku sekali lagi jadi saksi nikah pihak perempuan. Pada masa yang sama aku pegang kamera digital adik dan Nikon SLR ku. Tok sedara sebelah mak mertua tepuk paha aku suruh duduk dekat sikit dan tinggalkan kamera dulu. "kue kan saksinya.. duduk dekat sikitlah", katanya perlahan. Aku tersipu dan menurut aja.

Selesai majlis, acara mengambil gambar di luar masjid. Amatlah meriahnya ditambah dengan kehadiran puluhan pelancong asing yang melawat masjid. Sempat menumpang ambil gambar sekali dengan keluarga pengantin. Pak Andak berpesan supaya semua gambar yang ada gambarnya mesti dihantar kepadanya. Nak besarkan dan nak letakkan kat dinding katanya.

Selesai majlis di masjid, sekali lagi membawa pengantin perempuan ke rumah pengantin kakak pengantin lelaki di mana kenduri diadakan. Konvoi dengan 4 buah van dari kampung yang disewa khas untuk membawa sedara mara. Dalam lima orang adik beradik yang sudah kawin, ini kali pertama dibuat di luar kampung. Terpaksa diimpot semuanya dari kampung. Lalu perjalanan perlahan bermula kerana takut kereta belakang tak sempat ikut. Nampak traffic light hijau, perlahan je tunggu kuning takut kereta belakang tak lepas.

Kenduri di sebuah taman di Skudai. Perumahan campuran semua bangsa. Di sebelahnya ada dua ekor anjing Rottweiler separas pinggang tingginya. Berekor kontot. Beberapa tetamu dari kampung membayangkan jika anjing itu terlepas dari pagarnya. Apa yang jadi agaknya.

Tup-tup jam 5 petang selesai semuanya. Aku dan adik Izam jadi kameramen. Ada dalam empat gulung filem digunakan. Mintak-mintak semuanya cantik menarik.

Tuesday, December 30, 2003

Sudah lama jurnal tidak dikemaskini. Entry terakhir menjanjikan cerita raya yang tidak kunjung nyata. Dah habispun bulan Syawal. Bagai sekelip mata ia berlalu. Sebagaimana berlalunya Ramadhan lalu. Begitu pantasnya perjalanan waktu, begitulah pantasnya meningkatnya umur kita. Yang pasti, semakin banyak masa yang kita lalui dimuka dunia ini, kita tidak tahu berapa banyak atau sikit lagi yang tinggal untuk kita bernafas di dunia ini.

Projek pertandingan nasyid pada 23 Disember lepas berjalan lancar dan mendapat pujian ramai. Aku rasa puas kerana kerja keras sepanjang dua minggu membuahkan hasil yang membanggakan. Kumpulan jemputan Far East juga memberikan persembahan yang hebat. Semua agak terkejut dengan kemampuan vokal Far East kerana sebelum ini kurang pernah mendengar mengenai kumpulan ini. Walaupun dihujani dengan pujian, namun aku masih melihat beberapa kelemahan yang ketara dalam program kali ini. Akan dicatatkan dalam fail post mortem nanti. Satu lagi perkara yang aku sedikit terkilan ialah apabila Dato' tidak tersebut nama aku dan menyebut nama orang lain yang tidak terlibat dalam ucapannya. Kadang-kadang menyebut nama sudah cukup sebagai imbuhan kerja yang penat.

Baru sahaja selesai pertandingan nasyid tersebut, bergegas ke Johor. Mulanya ke Parit Sulong, pada hari Krismas dan ke JB untuk urusan rombongan peminangan ke Taman Delima 2. Rombongan orang muda semuanya. Kedua orang tua sudah tiada maka adik beradik menjadi orang tua. Kelakar rasanya apabila orang muda berbicara tanpa ada lapik kata kiasan atau pantun. Terus kepada topik seperti dalam mesyuarat pejabat rasanya. Mujur tuan rumah tidak ambil berat sangat soal adat-adat lama. Diturut sahaja cara rombongan yang datang. Kita diminta memberikan ucapan penutup. Agak tersasul menyusun bicara secara spontan.

Selesai kerja peminangan, kerja perkahwinan pula menunggu. Rasa tak larat nak ceritakan tentang kerja perkahwinan ini. Mungkin di entry yang seterusnya.

Friday, December 05, 2003

Perjalanan raya tahun ini

Kajang - KT -Jerteh - Setiu - Jerangau - Parit Sulong - Kulai - Johor Bharu - Batu Pahat - Kajang.

Pra-Raya Aidilfitri 1424H

Hajat di hati nak mengelakkan kesesakan lalulintas yang dijangka berlaku pada malam Ahad. Lalu berpagi lagi selepas Subuh, bergerak dari Kajang menghala ke timur. Sampai saja di tol Gombak, sudah boleh diagak kemungkinan jangkaan yang dibuat silap sekali. Awal perjalanan sudah beratur panjang untuk membayar tol RM4.50. Sekali lagi rasa kesal dan tertanya-tanya ke mana hilangnya kad Touch N Go yang telah dibeli dulu. Terlebih lancar perjalanan dengan Touch N Go. Namun pengguna touch n go masih minoriti kecil.

Sampai di bandar Karak terasa lega kerana jalan tidak sesak. Terus sahaja membelah kesunyian pagi bandar Karak tanpa berhenti. Nak menjimatkan masa fikirku. Namun harapan hancur berderai apabila beberapa kilometer dari bandar Karak, kereta berderet berbaris panjang yang hujungnya tiada kelihatan. Akur dan menuruti dalam keadaan merangkak rangkak. Terfikir apa sebabnya. Aduh!! Salah benar percaturan yang dibuat. Ditambah lagi dengan sikap pemandu yang MEMENTINGKAN diri sendiri dengan memotong menggunakan lorong kecemasan. Tak ada pulak Polis nak saman.

Lalu di depan sekolah lama nak tengok kalau-kalau ada banner perjumpaan hari raya alumni. Tak nampak sebarang banner. Mungkin tak dibuat tahun ni. Sampai di rumah jam 2.30 petang. Masa perjalanan selama lapan jam setengah. Kebiasaannya sekitar tujuh jam sahaja. Berehat sekejap dan jam empat petang mak saudara dari KL sampai. Lagi lama perjalanan keretanya. Lebih dari 10 jam. Jam enam bergerak ke pasar Ramadhan di Pasar Chabang Tiga. Beratur panjang untuk membeli murtabak Pak Ali. Nak balas dendam sebab tak puas hati dengan murtabak KL yang entah apa-apa. Beli empat keping semuanya.

Hari terakhir Ramadhan dipenuhi dengan sesi membeli belah. Bawa emak dan adik-adik ke Pasar Tani untuk beli daging. Orang penuh menunggu giliran. Dapat 2 kilo tetapi bahagian yang kurang elok. Daripada tak ada lansung kira tak apa lah. Menjenguk ke dalam pusat pameran planetarium kerana ada jualah macam-macam. Lansung tak beli untuk diri sendiri, beli untuk Ita satu jubah seluar dan seluar slack putih. Belikan untuk Luqman juga mainan keretapi kecil RM6. Kemudian bergerak ke Sabasun untuk barangan dapur. Beratur untuk membeli sedozen air ‘junkfood’ campur-campur. Ita jeling je bila cakap nak beli air tu. Sapa nak minum entah katanya.

Petang Raya, hujan renyai-renyai sahaja. Masih boleh memasak ketupat di luar rumah. Kereta Abah rosak dekat dengan Jerteh. Terpaksa pergi ambil. Merangkak ikut jalan darat sebab banyak kereta kura-kura atas jalan. Tunggu giliran nak memotong dengan selamat.

Esok hari Raya!