Memenuhi Keinginan Masa Kecil
Aku suka membelikan Luqman mainan. Dari dia kecil sehingga berumur tiga tahun sekarang ini, koleksi barang mainannya cukup banyak. Boleh penuh satu almari. Itu tidak termasuk mainan yang tidak muat almari seperti basikal atau kereta yang muat sorang budak. Mainan yang sudah rosak kebanyakannya aku buang atas usulan Ita yang memang kaki kemas. Aku kaki simpan. Kalau boleh aku nak simpan semua benda walaupun dah rosak. Bagi aku mungkin barang itu akan berguna pada masa depan. Kalau Ita, pantang ada yang tak boleh digunakan, buang terus. Buat semak rumah katanya. Memanglah kan, lagipun dia yang dok tungkus lumus kemas-kemas rumah. Eh.. aku tolong jugak sikit-sikit. Tolong tengok.
Hari sabtu lepas aku pergi ke pameran smart kids di PWTC. Banyak sungguh produk untuk kanak-kanak ni. Sampai tak tersinggah aku semua gerai yang ada. Alih-alih gerai mainan yang menjadi tempat buang duit. Akhirnya Luqman dapat sepucuk pistol. Sebelum ini aku tidak pernah belikan pistol atau mainan-mainan yang bersifat 'ganas'. Pistol pakai bateri. Bila tembak dia keluar bunyi dan lampu kelip-kelip. Bawah laras pistol tu pun gerak-gerak macam gerudi bila ditarik picunya. Luqman main sampai malam. Tengok TV pun sambil tembak-tembak. Satu lagi aku beli kereta remote kontrol yang selalu orang main. Dari budak sampai orang tua. Aku beli pun sebab ada diskaun 30%. Dua-dua bende tu RM56 sahaja. Murahlah tu kan?
Balik rumah si ibu pun berleter..hehe.. biasalahkan. Mainan lagi. Isk-isk.. baru je minggu lepas dah beli mainan Power Rangers. Aku cakap, takpe lah ibunya.. sikit je.
Sebenarnya kan dalam hati aku, aku ingin beri apa jua mainan yang Luqman nak. Sebab masa aku kecik dulu, aku tak merasa nak bermain dengan mainan begitu. Hanya setahun sekali apabila lepas Hari Raya. Duit raya aku beli mainan. Pernah sekali aku dua beradik dan dua orang sepupu berpakat bagi RM5 seorang untuk beli permainan Saidina. Kami main sampai hancur. Sampai habis koyak duit dia. Kereta mainan atau robot jauh sekali. Aku cuma ingat pada masa aku masih kecil dan adik aku masa tu hanya dua orang, abah belikan sebiji kereta kebal pakai bateri. Tayar dia getah dan boleh jalan laju. Beberapa kawan sekampung pun ada kereta kebal tersebut lalu kami berlumba. Kereta aku menang sebab abah letak bateri Duracell masa tu.
Aku seakan memenuhi impian sendiri apabila membelikan Luqman mainan-mainan tersebut. Aku sebenarnya ingin merasa bermain permainan tersebut dengan alasan untuk Luqman. Kelakar kan? Luqman akan membesar dengan permainan yang dia suka. Tapi aku tidak lupa pada disiplin dan didikan. Mainan bukan menjadi pilihanku untuk membeli disiplin atau kepatuhan Luqman. Mainan bukan juga imbuhan untuk perbuatan yang baik. Mainan adalah salah satu sumber didikan dan alat untuk 'bonding' antara anak dan ayah. Mainan adalah sesuatu yang dikongsi bersama kegembiraannya. Bersama ibu dan abah. Bukan untuk dia duduk diam dan tidak kacau kerja kita. Bukan untuk dia tenggelam dalam dunianya sendiri. Jika itu terjadi, maka mainan ialah alat untuk menjarakkan hubungan antara anak dan ibu bapa. Kerap juga berlaku sedemikian. Untuk ingatan diri sendiri....
No comments:
Post a Comment