Wednesday, April 30, 2003

Dua tiga hari mungkin tak update kot...

Kerja kerja kerjaa... cuti cutiiii..cutii... :)

Monday, April 28, 2003

Aku orang Terengganu. Ita orang Johor. Aku grad UIAM, Ita grad UNCC,US. Aku sekolah kat Kuala Terengganu, Ita sekolah kat Parit Sulong. Tak de ah.. saja je cerita. Dah memang peramah kan.. :)

Pepetang hari pun boleh terlelap depan TV aku ni. Tengah tengok cerita Juana's Miracle. Luqman pulak tengah gaduh-gaduh dgn Cik Siti dia berebut remote tv. Gerak ke surau dalam keadaan mengantuk lagi. Hari ni seharian kursus. Kursus lagi yea.. hehe.. nak jadi bagus punya pasal. Hari ni kursus customer service. Aku suka penceramah dia. Orang Pakistan yang kerja lama kat London pastu datang Malaysia bukak consultant. BI dia telor UK lah jadinya. Sampai aku present pun ikut telor dia. Tengah2 kursus sempat juga lari 2,3 jam sebab ada appointment dengan Dr. Ariff di UIA. Aku pergi dengan boss dan Mahzan. Projek Debat.

Esok ada lawatan dari Kolej Mara Kedah. Mintak-mintak Khairul dan siapkan Powerpoint tu. Aku tak sempat nak telefon dia tadi sebab kursus habis pukul 6 petang. Aku baru tahu kat Warta Bangi ada boling. Kat tingkat mana tah. Tak perasan pulak. Terbaca kat weblog CikDaun. Bolehlah nanti pergi. Nak kena praktis sket sebelum lawan dengan geng2 pantun.

Saturday, April 26, 2003

Agaknya memang sudah menjadi tabi'i dunia korporat yang selalu menghimpit manusia hingga ke sudut paling sempit. Memberi tekanan yang bukan sedikit. Mungkin dunia lain juga begitu. Kesibukan aku pada minggu ini bermula selepas sesi 'review' perjalanan Knowledge Management fasa ke tiga dalam syarikat ini. Banyak tindakan susulan perlu dirancang dan dilaksanakan. Tambahan pula ada sebuah Kolej Mara Negeri ingin melawat tempat ini dan bertukar-tukar pengalaman dalam perlaksanaan KM ini. Beberapa tugas terpikul di bahuku.

Aku ingin menulis lebih panjang tetapi masa tidak membenarkan. Cemburu benar masa padaku. Jika masa membenarkan aku ingin bercerita lebih lanjut mengenai KM ini. Oh ya.. minggu depan insyaAllah kami merancang untuk balik ke Parit Sulong dan Kulai menjengguk Busu. Awal bulan Mei pula ada program anak-anak Petronas di twin tower. Program Zaki. Aku cuma membantu mengendalikan salah satu kumpulan pelajar.

Jumpa lagi...

Tuesday, April 22, 2003

Hujung minggu lepas tak jadi balik Johor. Ditambah dengan Luqman yang kurang sihat. Agak 'dedar' badan dia. Alhamdulillah sihat semula pada hari Isnin. Aku rasa amat bersyukur kepada Allah kerana setakat ini kesihatan Luqman agak baik. Kalau demam pun paling lama dua tiga hari. Dari kecil lagi kami dah ajar dia makan minyak ikan dan vitamin tambahan. Makanan dera diri (junkfood) sama sekali tidak disentuh. Jika ada orang memberikan gula-gula atau coklat, dia akan menolak dan akan mengatakan "janput..janput.." Dia tak pernah makan gula-gula dan coklat..... Hmmm.. kenaperr?? tak percayerrr? Tengok iklan pun dia akan sebut "janput...janput...". Aiskrim pun lansung tidak disentuh walau di depan mata atau orang berikan dengan percuma. Aku juga rasa bersyukur kerana Allah telah memberi aku peluang belajar tentang pemakanan dan ilmu keibubapaan di tempat kerjaku yang lama. Di Institut Pembangunan Keluarga dan Kanak-kanak Nury. Ita masih bekerja di sana. Alhamdulillah kami sama-sama tekad untuk melawan arus komersial yang selalu mengabui pertimbangan kebanyakan kita.

Luqman juga tidak pernah minum susu lembu. Hanya susu ibu, kambing dan soya. Susu soya yang paling disukainya. Kenapa bukan susu lembu? Susu lembu terlalu komersial dan bayangkan dengan penggunaan susu lembu yang begitu meluas, bagaimana proses susu dikeluarkan secara komersial? Sama seperti pengeluaran daging ayam secara komersial. Seekor ayam yang beratnya sekilo setengah umurnya hanya 28 hari. Apa yang membuatkannya begitu cepat membesar? Suntikan hormon. Suntikan bahan kimia. Ya.. memang kami ada makan ayam tetapi ikan lebih diutamakan. Seboleh-bolehnya kami akan mengelak dari memakan ayam.

Satu lagi benda yang kami elakkan ialah dadah ubat. Dadah ubat juga terlalu komersial dan terlalu banyak jenisnya. Antibiotik contohnya.. ada berapa jenis entah. Kami memilih untuk mengambil vitaman tambahan dan makanan yang jelas berkhasiat untuk menjaga kesihatan. Alhamdulillah setakat ini kami berjaya menghadapi cabaran dari keluarga dan adik beradik yang amat suka menghadiahkan gula-gula dan coklat. Kami terangkan kenapa tidak elok. Mereka akur dan biasanya akan menyatakan rasa kagum kerana boleh mengawal Luqman sebegitu. Oh ya..Luqman juga tidak minum milo. Tapi masih membesar dengan sihat dan kuat.

Ramai kawan-kawan yang berkata agak susah nak mengawal pemakanan anak kerana apabila balik kampung, Tok abah dan tok maknya suka memberikan jajan dan gula-gula. Bapa dan mak saudarapun buat perkara yang sama. Bagaimana ya? Tepuk dada tanya selera...

Saturday, April 19, 2003

Busu kemalangan motor semalam. Kerana mengelakkan sebuah lori, lalu terbabas dan jatuh. 'shoulder joint' dia lari dan diberi cuti dua minggu. Sekarang ini ada dekat rumah Kak Zimah di Kulai. Semua adik beradik Ita dah sampai ke sana termasuk Abg Ani yang datang dari Parit Sulong. Dia dah beli kereta. Kereta kancil. Kalau ikutkan aku, balik ajalah, tetapi memandangkan Ita kerja pulak hari ni dan aku ada perkara penting pada hari Isnin ini. Hmmm... kena check akaun dulu sebenarnya ni. Duit minyak dgn tol lebih kurang mahalnya. Pergi balik mahu RM100 lebih jugak tu. Tengoklah nanti, terpulang pada Ita. Kalau dia nak pergi. Aku bawak je. Adik beradik Ita memang rapat antara satu sama lain sebab mereka ada mereka sahaja. Mak dan Abah telah kembali sedikit masa dulu.

Aku di sini terpaksa membantu pelajar dalam menyiapkan Bulletin Majlis Perwakilan Pelajar edisi ketiga. Walaupun aku bagi diaorg program microsoft publisher, masih sukar untuk mereka kuasai. Belum lagi adobe pagemaker tu. Banyak betul perlu dibantu, jika tidak akan terbantutlah proses penerbitannya. Ini pun dan agak terlewat daripada jangkaan. Menambahkan lagi cabarannya ialah program publisher buat hal pulak kat pc kat rumah aku. Baru buat sikit, dia keluar error. Terus hilang. Kena buat balik. Mungkin ada kena mengena dengan memori pc tu. Sebab selama ini kadang-kadang pc aku tu 'restart' sendiri tengah-tengah game atau program.

Hari khamis lalu rakan-rakan dari Warung Kopi Pak Saber dan Laman Pantun dari MSN communities bertemu di KL Sentral. Bertemu dengan rakan-rakan cyber yang telah lama kukenali. Ada wartawan, Peg. Bank, Doktor, Remisier, Book publisher dsb. Great to know these people. Almost all have own family and share few commons things. This May 11th, we got bowling gathering at KLGCC. Looking forward to that day. :)

Friday, April 18, 2003

Etika pakaian di IPTS

Isu pakaian kerap kali menjadi isu hangat di dada-dada akhbar dan di kalangan pelajar-pelajar di IPTA dan IPTS. Di IPTA memang telah lama wujud undang-undang yang jelas mengenai tatacara berpakaian ini dan telah dikuatkuasakan oleh pentadbiran IPTA. Tetapi di IPTS undang-undang perihal pakaian ini kurang jelas dan bergantung kepada IPTS itu sendiri menentukannya berpandu kepada jenis orientasi IPTS tersebut. Sesetengah IPTS memang mengambil berat terhadap perkara ini terutamanya IPTS yang menawarkan kursus-kursus yang berbentuk agama. Tidak kurang juga yang tidak memberi perhatian kepada etika berpakaian dan memberi kebebasan kepada para pelajar memilih apa yang ingin dipakai. Mungkin bagi pengusaha IPTS yang mempunyai nilai moral yang universal dan 'moden' menganggap pakaian tidak menggambarkan peribadi seseorang pelajar. Perjuangan golongan ini ber'tuhan'kan kepada tamadun barat yang sudah menyerap kebanyakan tamadun lain. Tidak hairanlah bagi golongan ini mengikut peredaran semasa tamadun barat dan menerima segala kandungannya tanpa syarat dan rela mengubah indentiti bangsa yang telah terbentuk sekian lama.

Apa yang menjadi kegusaran kepada kita ialah apabila anak bangsa sendiri yang mempunyai nama Islam dan beragama Islam mengikut surat lahirnya juga begitu senang mengikut tamadun ini secara rela dan gembira tanpa rasa bersalah. Nilai moral yang sepatutnya kukuh dalam diri remaja muslim menjadi kabur dan samar-samar. Menunggu perjalanan waktu untuk menghakisnya sedikit demi sedikit. Yang membimbangkan kita ialah akibat daripada ikutan ini yang membawa kecelaruan kepada masyarakat Islam. Kecelaruan identiti yang semakin tidak kurang. Ditakuti apa yang tinggal hanyalah badan yang diberi nama Islam tetapi tidak pada peribadinya. Bukan nak mengatakan tamadun barat itu busuk. Banyak yang baik malah amat berguna bagi kita umat Islam. Yang ingin dipersoalkan ialah apabila soal pakaian diambil mudah dengan alasan Allah menilai hati manusia atau tidak boleh menilai seseorang dari pakaiannya. Dengan pantasnya 'biah' (suasana) Islam dicemari. Bagaimana iman umat Islam boleh berkembang atau menjadi lebih baik sekiranya setiap hari diberi ujian dasyhat. Diberi pelbagai cabaran aqidah tetapi ditutup ruang bagi menguatkan aqidah.

Memang kita diberi pilihan untuk kesyurga atau neraka tetapi dengan membuka jalan ke neraka seluas-luasnya dan meletakkan jalan ke syurga ke sudut dunia sudah tentu ramai yang cenderung kepada kerosakan. Kerana manusia sukakan keseronokan. Nafsu manusia pula sentiasa mengarah kepada kejahatan. Sehebat-hebat manusia, jika diuji nafsunya lambat laun akan tumbang. Jadi adakah wajar dibuka jalan nafsu ini seluas-luasnya dan diberitahu, jangan pilih jalan ini, tak elok. Umpama meletakkan ikan goreng dan sayur hijau di depan seekor kucing dan menyuruhnya makan sayur tersebut dan ditinggalkan begitu sahaja. Sudah tentu kucing itu akan memakan ikan tersebut.

Apa yang aku tulis ni yea.. tadi rasanya idea lain. Dan tulis lain pulak jadinya.. Spontan punya kerja. Sabar je lah kan. Publish jugaklah..hehehe rasanya aku nak bagitahu kita kena jaga anak-anak kita sekarang ni dengan lebih ketat. Bukan bagi pakai ketat. Biar iman yang ketat tapi baju longgar. Kalau kita bagi kebebasan sepenuhnya, kebarangkalian rosak tu lebih besar dari elok sebab suasana sekarang kita tidak boleh kawal. Impot tamadun semakin hari semakin besar. Akhir kata mari kita ambil pengajaran dari firman Allah yang bermaksud; (tak ingat surah apa) 'Qu anfusikum waahliikum naara'
Jagalah dirimu dan ahli keluargamu dari apa neraka.

Thursday, April 17, 2003

Agak sibuk sehari dua ini. Semalam ada wartawan menemuramah untuk 'write up' untuk NST Sunday. Bahagian Education kot.
Dalam masa lima minit ada mesyuarat dengan Bahagian Sumber Manusia. Diikuti dengan satu lagi mesyuarat Bahagian Pentadbiran selepas itu. Kena pergi sekarang. Ada beberapa dokumen perlu di fotostat.

Tuesday, April 15, 2003

Semalam ada perbincangan antara pihak pentadbiran kolej dengan TMNET. Rentetan daripada seminar sehari yang aku hadiri awal bulan ini. Aku tertarik dengan perkhidmatan Hotspot yang ditawarkan oleh TMNET. Wireless WAN. Khidmat ini mungkin boleh memberi penyelesaian kepada rugutan pelajar mengenai khidmat capaian internet yang terhad kepada sebuah makmal sahaja. Walaupun di sini ada 4 makmal komputer. Hanya makmal windows NT yang disediakan kemudahan internet percuma menggunakan talian ISDN. Memang tidak mengcukupi dengan pertambahan pelajar dan pelajar zaman ini sebahagian dunia mereka adalah internet.

Perbincangan tersebut berjalan lancar cuma kadang-kadang ia bertukar menjadi seolah-olah kelas "Networking" dengan istilah-istilah yang jarang didengar oleh orang biasa. ADSL, XDSL, Direct access, Internet Exchange, COINS dan lain-lain lagi. Mereka akan membuat tinjauan tentang kampus ini dan akan disusuli oleh kertas cadangan. Jika boleh dilaksanakan dengan pelaburan yang kecil, alangkah baiknya. Tetapi ada juga kemungkinan kesan sampingan kepada pelajar jika mereka diberi kemudahan internet ini di asrama mereka. Sebuah IPTA pernah memberikan khidmat ini kepada pelajarnya tetapi selepas setahun mereka menarik balik kerana mendapati kedatangan pelajar pada kelas pagi merosot teruk. Sebuah IPTS yang terkenal juga baru menyediakan khidmat ini kepada pelajarnya. Adakah wajar untuk membuat kajian terlebih dahulu atau menunggu masa untuk "troubleshoot" masalah yang timbul.

Mungkin perlu diwujudkan satu bentuk program untuk menapis capaian internet para pelajar. Atau mungkin boleh dihadkan masa capaian internet kepada pelajar. Rasanya banyak langkah yang boleh dilakukan supaya khidmat yang berguna ini digunakan dengan baik oleh pelajar-pelajar.

: : Esok aku nak bercakap tentang etikan pakaian kolej swasta. Ada artikel menarik mengenainya tersiar dalam The Star dua hari lepas.

Monday, April 14, 2003

Nak kongsi cerita yang diberi oleh Ita.

Perempuan apa namanya tu
Bertudung dikepala
Tapi bajunya sendat lah pula

Perempuan apa namanya tu
Bajunya cantik tapi ketat
Separas pulak dengan pusat

Perempuan apa namanya tu
Pakai seluar berjenama
Yang didalamnya ternampak
Jelas tertulis digetahnya
Amboi "RENOMA" lerrrr......

Perempuan apa namanya tu
Kalau duduk dikedai kopi
Lewat malam bersama lelaki
Dah sah tu bukan
Dia punya laki

Perempuan apa namanya tu
Keluarnya malam pulangnya pagi
Tah kemana tak diketahui
Macam tu ke nak buat isteri

Perempuan apa namanya tu
Cantik berbaju kebaya
Tapi terbuka luas didada
Alamak!! itu fesyen kerrr....

Perempuan apa namanya tu
Bercampur gaul dengan lelaki
Terselit rokok dijari
Katanya trend wanita masa kini

Perempuan apa namanya tu
Tinggi keperibadian diri
Tapi mengumpat disana dan sini

Perempuan apa namanya tu
Dia melayu bukannya serani
Tapi tatoo disana sini

Perempuan apa namanya tu
Kalau sikap tak diperbaiki
Bagaimana nak berlaki....

Perempuan apa namanya tu
Memang banyak melebihi lelaki
Perangai pulak tak sedar diri
Bikin takut sama kaum lelaki

Friday, April 11, 2003

Program MLVK, menerima satu tamparan yang agak hebat. Langkah kerajaan yang membekukan tabung kemahiran menyebabkan banyak tempat latihan MLVK gulung tikar. Walaupun langkah tersebut dikatakan untuk menyelesaikan pembayaran untuk tahun 2002 dan bersifat sementara, ia memberi kesan yang tidak sedikit. Sepatutnya perkara seperti ini dipantau dengan cermat dan teliti sebelum pihak berkuasa meluluskan pembukaan pusat-pusat latihan MLVK. Yang paling teruk terjejas ialah pengusaha bumiputra yang mula berjinak-jinak dengan perniagaan dan bergantung sepenuhnya kepada yuran yang dikenakan kepada pelajar.

Mahzan mengajak aku pergi ke pameran MAPEX esok di PWTC. Bersungguh benar dia nak beli rumah. Katanya tahun lepas, kalau tahun ini dia tak kahwin lagi, dia nak beli rumah dulu. Bila dah kahwin, rumah sudah ada. Baguslah tu yea. Beli rumah ni tak akan rugi punya. Cuma nak kena ada duit paling kurang 10 peratus tu campur duit untuk peguam dan perkara-perkara kecil lain. Sampai bila nak menyewa. Kalau dikumpulkan duit sewa dah boleh buat macam-macam. Aku dah kerja lebih kurang 6 tahun. Rumah tak mampu lagi nak beli. Terlalu banyak komitmen untuk keluarga dan adik beradik. Aku ada 8 adik. Seorang abang. Adik aku dah bekerja tiga orang. Tinggal lima yang masih bersekolah dan di IPT.

Ada rakan sekerja di sini ada sampai tiga buah rumah. Keluarga banyak membantu biasanya. Kalau nak harapkan duit gaji tak tahulah bila akan mampu. Mungkin beli rumah yang murah dulu. Macam apartmen contohnya. Sekurang-kurangnya boleh menjadi aset bagi kita. Harga rumah akan naik tidak pernah turun. Bukan macam kereta. Kereta apabila dipakai harganya akan turun. Kadang-kadang sampai merudum. Lebih merupakan liabiliti daripada aset. Pernah baca buku "Rich Dad, Poor Dad" tulisan Robert Kiyosaki? Bercakap mengenai pengurusan kewangan kita. Sangat bagus jika kita boleh laksanakan. Kalau boleh keluarkan buku semacam itu pun lagi lah bagus. Sekali lagi 'theory of average' terbukti.

:: Petang semalam Ita minta aku ajar memandu kereta manual. Kereta auto dia dah terrer. Luqman pun ikut sekali. Dalam hati aku kata 'kena banyak sabar ni. Jangan marah dia.. bagi peluang dia belajar." Tapi terbukti aku tidak layak untuk jadi guru memandu. Aku tak tahan bila orang tak boleh buat apa yang aku cakap. Aku rasa benda tu mudah sangat. Sabar je lah. Maaflah Ayang eh? Tak sengaja marah ayang..:) . Nanti belajar dengan MekJa je lah. Atau dengan Mila.

Thursday, April 10, 2003

Pagi-pagi lagi aku pergi jogging sekitar kampus. Nyaman sekali udara pagi. Sedikit sejuk. Lambat sikit berpeluh. Dah masuk rumah baru berpeluh. Lepas tu, bawak Luqman pergi main kerete kontro Subaru Impreza warna biru kat gelanggang tenis. Luqman masih terkial-kial nak kawal kelajuan dan steering. Aku pun tumpang sekaki.

Ita masih didatangi waktu perempuannya. Maknanya belum ada rezeki lagi.

Wednesday, April 09, 2003

AKu cuba nak update blog ini sambil melayan beberapa orang rakan siber. Satu dari Tawau. Seorang lagi dari Johor Bharu dan lagi seorang di Pulau Pinang. Tawau dan JB satu bilik. Yang di Pulau Pinang bilik yang lain. Hebat kan teknologi sekarang. Manusia dari seluruh dunia boleh bertemu pada waktu yang sama di tempat yang begitu jauh. Teknologi yang dipanggil ICT, merubah keadaan dunia yang kita hidup di dalamnya. Dunia yang ibu bapa kita tidak pernah terfikir akan muncul. Ramai orang yang tiada kesempatan untuk bergaul di dunia nyata lantaran himpitan masa kerja yang menghambat manusia ke sudut dunia. Maka alam yang separa nyata ini menjadi alat yang berkesan untuk bertemu dengan ramai orang.

Kata orang, Tak kenal maka Tak cinta. Bila dah kenal cinta mula berputik. Kalau dulu dari mata turun ke hati. Sekarang ini dari dari mana turun ke mana yea. Dari perkataan boleh menawan seorang perawan atau jejaka tampan. Ada cinta yang diikat, ada yang terikat dan ada yang hatinya tersiat. Ramai juga yang tertipu dan ramai juga yang menipu. Menipu dan tertipu menjadi lumrah. Mungkin sifat semulajadi manusia jika dia merasa tiada siapa yang melihat, mudah saja membuat suatu yang cemar. Lihat diri kita. Jika jujur tidak sebati, mudah bagi kita membohongi orang dan diri sendiri. Kadang-kadang ingin membalas perbuatan orang terhadap kita. Lantas orang lain menjadi mangsa dan rantai ini terus berjalan. Lalu kita menjadi sama seperti orang yang menipu kita. yang ditipu berubah menjadi penipu.

Aku percaya jika kita berniat baik dan jujur, InsyaAllah akan diberi balasan yang baik. Seperti kata siapa ya.. aku kurang pasti.. Jadilah seperti pokok buahan, dibaling batu atau kayu, diberinya buah. Akan bahagialah hidup kita. Ingat siapa suri teladan kita sepanjang zaman. Letaklah Muhammad sebagai guru kita. Redha Allah yang paling utama. Lewat kita sebagai seorang anak, abang, adik, kakak, sahabat, rakan, taulan, isteri, suami, guru, juruteknik, jurutera, pelajar, ketua, bapa, ibu atau kaunselor...

Monday, April 07, 2003

Memenuhi Keinginan Masa Kecil

Aku suka membelikan Luqman mainan. Dari dia kecil sehingga berumur tiga tahun sekarang ini, koleksi barang mainannya cukup banyak. Boleh penuh satu almari. Itu tidak termasuk mainan yang tidak muat almari seperti basikal atau kereta yang muat sorang budak. Mainan yang sudah rosak kebanyakannya aku buang atas usulan Ita yang memang kaki kemas. Aku kaki simpan. Kalau boleh aku nak simpan semua benda walaupun dah rosak. Bagi aku mungkin barang itu akan berguna pada masa depan. Kalau Ita, pantang ada yang tak boleh digunakan, buang terus. Buat semak rumah katanya. Memanglah kan, lagipun dia yang dok tungkus lumus kemas-kemas rumah. Eh.. aku tolong jugak sikit-sikit. Tolong tengok.

Hari sabtu lepas aku pergi ke pameran smart kids di PWTC. Banyak sungguh produk untuk kanak-kanak ni. Sampai tak tersinggah aku semua gerai yang ada. Alih-alih gerai mainan yang menjadi tempat buang duit. Akhirnya Luqman dapat sepucuk pistol. Sebelum ini aku tidak pernah belikan pistol atau mainan-mainan yang bersifat 'ganas'. Pistol pakai bateri. Bila tembak dia keluar bunyi dan lampu kelip-kelip. Bawah laras pistol tu pun gerak-gerak macam gerudi bila ditarik picunya. Luqman main sampai malam. Tengok TV pun sambil tembak-tembak. Satu lagi aku beli kereta remote kontrol yang selalu orang main. Dari budak sampai orang tua. Aku beli pun sebab ada diskaun 30%. Dua-dua bende tu RM56 sahaja. Murahlah tu kan?

Balik rumah si ibu pun berleter..hehe.. biasalahkan. Mainan lagi. Isk-isk.. baru je minggu lepas dah beli mainan Power Rangers. Aku cakap, takpe lah ibunya.. sikit je.

Sebenarnya kan dalam hati aku, aku ingin beri apa jua mainan yang Luqman nak. Sebab masa aku kecik dulu, aku tak merasa nak bermain dengan mainan begitu. Hanya setahun sekali apabila lepas Hari Raya. Duit raya aku beli mainan. Pernah sekali aku dua beradik dan dua orang sepupu berpakat bagi RM5 seorang untuk beli permainan Saidina. Kami main sampai hancur. Sampai habis koyak duit dia. Kereta mainan atau robot jauh sekali. Aku cuma ingat pada masa aku masih kecil dan adik aku masa tu hanya dua orang, abah belikan sebiji kereta kebal pakai bateri. Tayar dia getah dan boleh jalan laju. Beberapa kawan sekampung pun ada kereta kebal tersebut lalu kami berlumba. Kereta aku menang sebab abah letak bateri Duracell masa tu.

Aku seakan memenuhi impian sendiri apabila membelikan Luqman mainan-mainan tersebut. Aku sebenarnya ingin merasa bermain permainan tersebut dengan alasan untuk Luqman. Kelakar kan? Luqman akan membesar dengan permainan yang dia suka. Tapi aku tidak lupa pada disiplin dan didikan. Mainan bukan menjadi pilihanku untuk membeli disiplin atau kepatuhan Luqman. Mainan bukan juga imbuhan untuk perbuatan yang baik. Mainan adalah salah satu sumber didikan dan alat untuk 'bonding' antara anak dan ayah. Mainan adalah sesuatu yang dikongsi bersama kegembiraannya. Bersama ibu dan abah. Bukan untuk dia duduk diam dan tidak kacau kerja kita. Bukan untuk dia tenggelam dalam dunianya sendiri. Jika itu terjadi, maka mainan ialah alat untuk menjarakkan hubungan antara anak dan ibu bapa. Kerap juga berlaku sedemikian. Untuk ingatan diri sendiri....

Friday, April 04, 2003

Pagi ini ada kejutan buat aku. Panggilan daripada Malaysia Hari Ini. Rupa-rupanya si Mahzan yang menghantar email kepada MHI untuk segmen sapa menyapa. Topik yang dibicarakan ialah tentang pertemuanku dengan Ita di alam siber. Jam tujuh lebih itu aku sedang menonton siaran berita al-Jazeera. Mungkin kerana suasana yang masih pagi itu, memoriku agak kurang cekap. Tarikh-tarikh penting kuberikan kurang tepat. Aku kenal Ita pada hujung 1997 semasa di tahun akhir pengajian. Ita pulang ke Malaysia pada bulan Disember 1997. Selepas beberapa bulan berbicara di internet. Tahun 1999 kami berkahwin dan tahun 2000 Luqman lahir ke dunia.

Segmen selama 5 minit itu sudah cukup memberikan ku 'glamer' apabila rakan-rakan sekerja menegur dengan galak. Telefon pun sentiasa berdering. "Eh tadi ko masuk MHI eh? Hmm.. dulu aku pernah juga merasa glamer. Tapi lebih sikit dari kali ini sebab dulu aku pernah muncul beberapa kali dalam TV3 jugak. Semua orang kampung tegur aku. Sedara mara jauh dekat pun telefon. Rancangan Kuiz Yang Arif. Aku masuk peringkat akhir dan disiarkan secara lansung pada hari Ahad di TV3. Kalau tak silap aku pada bulan oktober 1997. Aku tak ingat samada aku dah kenal Ita ke belum pada masa tu. Tetapi yang aku ingat, aku hadiahkan kepada Ita cenderamata Kuiz Yang Arif yang merupakan sebuah Jam Pasir yang cantik. Sekarang ini masih ada di rumah. Oh ya.. aku lupa bak beritahu.. di peringkat akhir tu kumpulan aku berjaya memenanginya. Hadiah RM9000 dan Tiket mengerjakan umrah.

Duitnya aku dah dapat tetapi tiket umrah sampai sekarang tak dapat-dapat. Mungkin sebab masa itu aku baru bekerja dan alamat tidak tetap. Mungkin suratnya sampai di mana-mana tetapi tidak sampai ke tanganku. Aku ingat penajanya pada masa itu ialah Pustaka Darul Fikir. Sayang yea.. tiket umrah mahal jugak tu.


Thursday, April 03, 2003

Terdapat perbezaan yang ketara di kalangan pelajar peringkat sijil dan pelajar peringkat diploma mengenai disiplin dan pendekatan mereka terhadap pelajaran. Mengikut sumber dari beberapa pensyarah yang berpengalaman. Pelajar peringkat sijil di mana kelayakan masuknya hanyalah mininum 2 kredit dan 4 lulus dalam peperiksaan SPM, menunjukkan disiplin yang rendah seperti banyak ponteng kelas. Terutama kelas-kelas awal pagi. Sikap mereka juga lebih banyak yang negatif. Ramai yang gagal kerana tidak memenuhi peratus kedatangan dan tidak menghantar tugasan yang telah diberikan. Subjek yang paling ketara peratus kegagalan ialah subjek berbentuk pengiraan seperti matematik, fizik dan kimia.

Sudah pasti pendekatan terhadap pelajaran tersebut tidak tepat. Sikap-sikap negatif, seperti bertangguh, baca saat akhir, bergantung pada kawan, malas nak berjumpa pensyarah antara penyumbang besar dalam masalah ini. Aku dikehendaki membuat satu program pendekatan terhadap masalah ini. Mungkin satu program yang mirip kelas tuisyen atau kelas kemahiran belajar. Belajar untuk belajar. Ada tak cadangan-cadangan program lain yang boleh dibuat untuk mengurangkan masalah ini. Pelajar peringkat sijil. Pelajar MLVK lagilah parah. Mesti buat satu program yang konsisten untuk bantu mereka-mereka ini. Semester lepas aku telah mulakan program ini tetapi mungkin masa dan suntuk sangat. Dekat dengan peperiksaan. Pun begitu ramai yang datang menunjukkan mereka ini ingin dibantu.

Diari hari ini : :
10.00 pagi : Mesyuarat hal ehwal pelajar
11.00 pagi : Janjitemu dengan Ustaz Nasir di pejabat agama Sepang.
3.00 ptg : Mesyuarat 'Website Committee' (aku tidak lagi jadi ketuanya. dah serahkan kepada org baru)

Wednesday, April 02, 2003

Belum jam 12 tengahari, perut sudah terasa lapar. Pagi tadi aku ambil sarapan. Mungkin kerja yang banyak dan berkejar ke sana sini menyebabkan tenagaku habis digunakan? Banyak isu pelajar yang perlu di tangani. Kadang-kadang timbul konflik, aku sebagai seorang kaunselor atau aku sebagai guru disiplin. Sesetengah pihak kurang mengerti apakah tugas seorang kaunselor. Bagaimana kerja seorang kaunselor. Kaunselor bukan guru disiplin. Kaunselor bukan penguatkuasa undang-undang. Jika diberi tugas sebegitu, maka usah dipanggil kaunselor lagi. Bagaimana pelajar mahu datang berjumpa kaunselor sekira imejnya adalah seorang guru disiplin yang suka memarahi dan mengambil tindakan apabila undang-undang dilanggar. Serasa aku, tiada siapa yang suka berjumpa dengan guru disiplin kecuali apabila dipaksa.

Kaunselor sepatutnya seorang yang neutral. Bukan menyebelahi pihak yang baik sahaja. Bukan rapat dengan pelajar yang berdisiplin sahaja. Apabila kaunselor telah dianggap menyukai pelajar baik sahaja, maka pelajar yang "tidak baik" akan menjauhi kaunselor. Walhal merekalah yang amat perlu dibantu. Tidak dapat tidak (La budda, kata orang arab), kaunselor perlu pro-aktif dan turun ke padang untuk berjumpa dengan pelajar. Dan kaunselor itu hanyalah seorang.

Tuesday, April 01, 2003

Menunggu waktu Isya', kadang-kadang aku singgah ke sini. Buat apa yang patut. Hari ini tuan Imam Wan Hussin tidak nampak batang hidung. Adakah dia tidak sihat. Zohor dan Asar tadi tak nampak macam tak sihat. Mungkin ada sesuatu yang perlu diuruskan. Jarang dia tak datang. Biasanya dia akan beritahu jika dia ada hal. Jadi akupun kadang-kadanglah jadi imam terjun. Terkadang malu sendiri. Ilmu secetek ini bisa diangkat menjadi imam solat jemaah. Aku jadi insaf. Dari apa yang aku pelajari, jika seseorang itu melupai ayat al-Quran yang telah dihafal. Adalah celaka baginya. Lebih teruk daripada orang yang tidak pernah menghafal al-Quran. Betul ke tOksiD? Atau Pakdi? atau Wanzu?

Hilang hidayah adalah lebih teruk daripada belum mendapat hidayah. Lari dari Tuhan setelah kita mengenalinya adalah sejahat manusia. Tetapi turun naik iman adalah manusia biasa. Iman tahap terendah. Ada tiga darjat orang yang mengerjakan solat. Pertama, dia bersolat kerana dia merasakan dia wajib bersolat. Kedua, dia bersolat kerana takutkan azab dan dosa Allah. Ketiga, dia bersolat kerana ingin mendapatkan cinta Allah dan ingin selalu berdamping dengan-Nya. Tetapi manusia punyai hati yang mudah berbolak balik. Oleh itu selalu lah doakan.. Ya Muqallibal qulub, thabbit qulubina bidiinika wa to'atiq"... Wahai Tuhan yang membalikkan hati, Tegapkan hati-hati kami dengan agama-Mu dan ketaatan kepada-Mu.

Ilmu manusia ibarah titisan air yang melekat pada hujung jari apabila kita mencelupkan jari kita ke dalam air laut. Sedikit itupun tidak termampu untuk kita menguasainya. Ayuh, tingkatkan usaha kita untuk mendalami ilmu dunia dan akhirat. Isya' sudah hampir. Aku beredar dulu.