Musim peperiksaan menjelma lagi. Minggu ini merupakan minggu belajar, kebanyakan pelajar sudah tidak punya kelas atau tugasan yang perlu dihantar. Minggu persediaan untuk menghadapi peperiksaan akhir semester. Pada minggu inilah bahagian pentadbiran dapat melihat pelbagai jenis pelajar yang belajar di sini. Masa inilah pelajar yang rasa kurang yakin untuk dapat melepasi peperiksaan, merayu untuk menangguhkan semester. Memang seribu alasan yang diberi. Ramai yang berkunjung ke hal ehwal pelajar kerana bahagian akademik menolak permohonan penangguhan mereka. Yang lebih ta'jubnya ialah pada hari terakhir sebelum peperiksaan, semakin bertambah jumlah pelajar yang bermasalah datang berjumpa dan meminta pertolongan.
Nampak jelas benar masalahnya. Semua perkara mahu ditangani dengan falsafah 'last minute'. Agak malang begi pelajar yang melanggani konsep ini sebagai cara belajar. Apabila gagal, mereka tahu memberikan alasan 'last minute' sebagai sebab utama tidak berjaya melepasi keputusan minimun. Namun betul lah kata ramai kaunselor bahawa perubahan mesti dilaksanakan oleh diri sendiri, orang lain sekadar memberi panduan dan bantuan.
Agaknya memang tepat kata Dr, bahawa pelajar ini menuntut kami untuk menarik hidung mereka untuk dibawa belajar. Jika dibiar bebas, nescaya wajib mereka tidak akan belajar. Kena dibimbing macam budak darjah satu. Satu persatu perlu ditunjuk untuk diikuti dan dijauhi. Bezanya budak darjah satu akan ikut sahaja apa yang kita ajar tetapi mereka ini belum tentu mengikutnya. Ikut rasa mahu sahaja ditampar dan diajar cukup cukup supaya sedar dan berusaha untuk membantu diri sendiri.
Dilemma institusi swasta yang mendapat pelajar yang paling rendah mutunya. Tidak dapat tidak, untuk menjayakan mereka, bergantung kepada kesanggupan kita untuk menyinsing lengan dan mengotorkan kolar baju yang cantik dengan keringat yang perit. Seperti kata Tn Hj Yahya, cemerlang atau tidak para pelajar bergantung kepada kesanggupan para pensyarah untuk turun ke bawah bersama para pelajar dan berkorban ego dan status untuk membantu tanpa setitis rasa negatif kepada pelajar berkenaan.
Merancang untuk menjayakan mereka ini menjadi agenda terbesar tahun ini. Semoga kudrat ini mampu untuk mengeluarkan yang terbaik dalam diri mereka ini. Gagal merancang ialah merancang untuk gagal. :-)
No comments:
Post a Comment