Cuti dua hari kerja sehari.Cuti lagi sehari kerja lagi sehari. Esok cuti lagi dua hari. Banyak betul cuti bulan Januari dan Februari ni. Nak berurusan dengan pihak lain susah pulak sebab ramai yang ambil cuti terus. Sabar je lah yea..
Seorang sahabat meminta komen dan ulasan cerpennya yg tersiar di dalam Majalah Jelita Februari 2004, cover Annahita, pelakon spanar jaya yang dah kurang berjaya tu. Nak kongsi ulasannya.
Simfoni Sekeping Hati
Cerpen oleh Ramsiyah Arnir
Pertama kali melihat tajuk cerpen ini terasa biasa sahaja dengan pemilihan tajuk yang agak kerap digunakan dan rasanya boleh diagak isi cerpen tersebut. Namun hati tertanya-tanya apakah kelainan yang akan dipaparkan oleh penulis ini. Mata tertangkap pada bahagian cerpen yang dilabelkan dengan simfoni 1 hingga 6.
Permulaan cerpen ditanda dengan membayangkan sekeping kad berwarna putih yang dibaca oleh Anis. Seterusnya amat cepat masa berlalu dari simfoni satu hingga ke simfoni enam. Tidak sabar hendak membaca simfoni yang seterusnya. Setiap simfoni merupakan satu bisikan hati Anis dalam satu keadaan di setiap peringkat hidupnya.
Ada satu perasaan yang kuat dirasakan apabila habis sahaja cerpen ini dibaca iaitu perasaan kecewa dan tidak puas hati. Hati terus bertanya, “Kenapa Bahrin? Bukannya Kamil yang sejak dahulu setia pada kasihnya.” Rasa kasihan kepada Kamil kerana kasihnya tidak kesampaian. Sedangkan Bahrin terasa masih asing pada Anis.
Bagi sebuah cerpen, penulis berjaya memberi kesan yang kuat kepada pembaca dengan menyudahkan cerpen dengan Anis memilih Bahrin sebagai teman hidupnya. Sedangkan nama Kamil lebih banyak bersama dengan Anis sebagai teman dan kawan sekampung. Mungkin Anis lebih suka Kamil sebagai teman daripada kekasih dan teman hidup. Bagi saya jalan cerita sedemikian amat memberi kesan.
Pemilihan perkataan amat sesuai dan begitu sedap dibaca. Perasaan terasa dibuai-buai oleh setiap baris yang menggambarkan perasaaan Anis. Pemilihan perkataan yang sesuai menjadikan cerpen ini begitu indah dan tinggi nilai ‘kejiwangannya’. Dapat dirasakan penulisnya adalah seoarang yang berhati-hati dan mempunyai pengalaman yang luasa dalam penulisan dan kehidupan.
Bagi saya, cerpen ini mempunyai resepi yang lengkap bagi cerpen yang bagus. Cuma mungkin tema cerita ini agak biasa kita baca iaitu cinta.
3.04 petang, 23 Januari 2004.
No comments:
Post a Comment