Sistem nilai dalam diri anda
Kadang-kadang apabila kita sudah mesra dengan seseorang dan tidak mempunyai masalah untuk berinteraksi dan bergaul, secara tidak sedar kita akan meng'impose' nilai yang ada pada diri kita kepadanya. Mungkin kita sedari atau tidak bahawa orang itu tidak boleh menerima nilai yang kita tonjolkan kepadanya. Kadang-kadang nilai hormat yang tinggi yang ada pada orang itu menghalang kita dari mengetahui yang beliau tidak selesa dengan nilai yang baru kita tonjolkan tersebut.
Mungkin juga selepas beberapa ketika, barulah orang itu memberi isyarat jelas bahawa beliau tidak suka akan nilai tersebut. Keadaan seperti ini boleh menimbulkan konflik antara dua manusia. Penyelesaian konflik tersebut juga akan bergantung kepada sistem nilai individu terbabit. Jika sistem nilai antara keduanya tidak kontras atau bertembung, maka kemungkinan untuk konflik itu reda adalah lebih besar. Contoh yang jelas ialah dalam kes-kes penceraian peringkat menengah dan ke atas. Kegagalan satu perkahwinan itu disebabkan oleh kegagalan pasangan untuk bertolak ansur dengan sistem nilai pasangannya. Sekadar menyebut satu contoh.
Sistem nilai ini terbentuk daripada masa dan persekitaran pembesaran kita. Sistem nilai ini ada dua jenis. Sistem nilai secara sedar dan sistem nilai secara tidak sedar. Sistem nilai secara sedar ialah apa yang ibubapa, guru dan orang tua menunjuk ajar kita. Sistem nilai secara tidak sedar ialah sistem nilai sosio emosi yang dibentuk dengan melihat kepada perlakuan ibubapa penjaga yang tidak rasmi. Perlakuan semasa menghadapi konflik. Perlakuan semasa berinteraksi dengan linkungan rakan-rakan dan perlakuan spontan kepada keadaan sekeliling.
Sistem nilai ini akan diperkukuhkan atau dirombak apabila kita melalui proses pembelajaran yang lebih dalam dan tinggi. Bergantung pula dengan personaliti yang telah terbentuk. Jika personaliti yang dibentuk adalah dominan, maka lebih kebarangkalianya kita akan menonjolkan sistem nilai kita kepada orang lain. Jika personaliti kita tidak dominan, maka kemungkinan besar kita akan dipengaruhi dengan sistem nilai mentor atau rakan sekeliling kita.
Agak sukar untuk membuat satu analisa sistem nilai individu yang lengkap tetapi banyak ujian-ujian personaliti dibuat berdasarkan nilai-nilai ini. Sememangnya manusia adalah makhluk yang kompleks dan sistem nilai ini adalah sebahagian daripadanya.
* tulisan spontan 7.30 pagi
No comments:
Post a Comment