Mentari merah memenuhi ufuk angkasa. Seakan berada di dunia fantasi yang penuh dengan naga dan orang kerdil. Tembus di celah-celah pokok kelapa sawit yang berselang-selang cahaya meranya. Terpinar seketika menyaksikan suasana yang jarang sekali kelihatan itu. Punggung masih kejap lekat di tangga simen berwarna merah menghala ruang luas di depan rumah dan jalan kampung yang menyempadani tanah jiran terdekat. Sepelaung jaraknya. Waktu seakan berhenti sebentar, tiba-tiba sudah menjelang senja. Masih lagi kemerahan Cuma diselubungi gelap waktu menghampiri malam. Suasana inilah yang membuatnya jatuh cinta dengan kampung angkatnya itu. Suasana yang tidak dijumpai di kampung sendiri. Lantas apabila diajak balik ke kampung ‘angkat’nya itu, terus sahaja dipersetujuinya.
Pagi 30 Sya’ban 1424H, setelah puas diselimuti aura pokok-pokok di sekeliling rumah yang masih dingin seperti sediakala, Luqman turun ke tanah dan bermain dengan bola kesukaannya, Fevernova Adidas. Pantas sekali dia menyepak bola tersebut apabila Pak Ngah nya sudi bermain bersama. Gembira benar nampak Luqman dapat menyepak bola dalam ruang yang lebih lega daripada rumahnya di Kuala Lumpur. Si ibu memanggil Luqman untuk sarapan setelah dilihat Luqman dibasahi peluh dan Pak Ngahnya ada kerja yang perlu disiapkan. Jika tidak dipanggil untuk sesuatu, mungkin tidak dilayannya.
Kedatangan Ramadhan semakin terasa. Walaupun masih boleh menikmati makanan seperti biasa pada hari akhir Sya’ban ini, tetapi kelihatan semuanya tidak rajin ke dapur untuk memasak makanan tengahari. Sampai malamnya barulah Kak Ida menyediakan makan malam. Itu pun ala kadar sahaja. Petangnya pergi ke kawasan perindustrian Sri Sulong. Ada pasar malam pada hari itu. Banyak juga barang yang dibeli. Termasuk makan-makanan. Tidak dilupakan tongkeng ayam goreng. Sedap dimakan begitu saja. Hanya Busu dan aku yang menikmatinya. Ita dan Cik Non lansung tiada selera melihat tongkeng ayam goreng. Singgah juga di pekan Parit Sulong, melihat apa yang ada. Tertarik dengan durian D29. Dibeli juga 5 biji.
Sampai ke rumah sudah hujung petang. Sempat menikmati durian dahulu di anjung rumah. Sedap isinya. Puas hati kiranya belian kali ini. Ita melirik tajam takut-takut terkena tipu seperti sebelum ini. Selepas maghrib mengerjakan makanan yang dibeli di pasar malam. Ayam goreng dan sup lembu campur.
Solat Terawikh malam pertama dikerjakan di rumah sahaja. Berjemaah dengan Ita. Luqman hanya melihat. Kadang-kadang mengikut ibu dan abahnya rukuk dan sujud. Entah apa yang tidak kena, terasa nafas mencungap-cungap. Seakan lelah dan sesak nafas. Mungkin kerana campuran durian dan sup lembu. Seksa rasanya nak menghabiskan satu al-Fatihah. Terasa nikmatnya kesihatan yang tidak boleh ganti dengan apa jua.
Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan!
*oh ya.. hari ini hari lahirku yang ke 30. Sudah 30 tahun anakmu ibu…
No comments:
Post a Comment