Mengikut laporan berita TV baru-baru ini mengatakan bahawa 130,000. kanak-kanak dan remaja mengalami masalah mental dan emosi. Catatan berita ringkas yang berjalan di bahagian bawah TV di tengah-tengah rancangan tu. Tidak berkesempatan membaca atau mendengar butiran lanjut mengenai perkara tersebut. Baru-baru ini terbaca mengenai 1 daripada 10 org dewasa di Malaysia menghadapi masalah mental. Hmmm.. oleh kerana fitrah kerja menghadapi situasi yang begitu, maka aku hanya mengangguk-angguk tanda setuju dan maklum.
Selalu aku kaitkan perkembangan pesat negara kita dan pembukaan pintu negara yang seluas-luasnya kepada dunia, banyak membawa kepada konflik emosi yang meruntuhkan jiwa-jiwa yang mempunyai mental yang tidak kuat. Di samping konflik emosi yang membawa kepada keracauan personaliti dan kehilangan daya fikir yang rasional, di sana ada juga satu konflik yang juga cukup hebat iaitu konflik moral. Konflik moral ini akan membawa kepada keracauan spiritual dan agama.
Asakan dana antarabangsa ke dalam ekonomi Malaysia yang berkemuncak pada 1997 memberikan kesan yang tidak sedikit kepada ekonomi Malaysia. Keadaan yang tidak kurang sama juga berlaku tetapi lebih lagi kerana ianya tidak pernah berkurangan iaitu asakan moral dari media yang juga dimonopoli oleh barat. Kesannya tidak seperti terhadap ekonomi yang jelas dari segi angka kerugian atau bilangan syarikat yang gulung tikar. Kesan asakan moral tidak boleh dilihat secara drastik. Tanpa penanda moral yang jelas di pihak kerajaan dan masyarakat, kesannya seringkali diberikan tindakbalas yang pelbagai. Kadang-kadang diberikan nama modernisasi, perubahan atau lebih hebat lagi diberi nama kemajuan.
Apabila kesan asakan moral ini bertembung dengan aliran aqidah yang mengakari majoriti rakyat negara ini, ia seakan-akan suasana tentera Malaya bertembung dengan kemasukan tentera Jepun pada tahun 1941 lalu. Atas alasan pelbagai kaum, isu ini ditangani dengan pendekatan liberal yang seringkali toleransi diangkat menjadi tema.
Terdapat golongan yang mempunyai akar yang cukup kuat bercakap dari belakang dinding. Didengari oleh ramai orang tetapi sering tidak diberi perhatian serius. Golongan ini takut untuk keluar dari dinding kerana khuatir virus moral yang telah menular, menjangkiti mereka. Terkadang mereka bercakap dalam konteks yang tidak tepat seperti apa yang berlaku di luar oleh kerana bergantung kepada laporan semata-mata.
Yang menguasai massa ialah golongan media. Golongan yang mempunyai akar yang agak galak. Akarnya boleh ke mana sahaja. Pucuknya seringkali menganggu golongan di belakang dinding. Mahu saja dicantas jika ada peluang.
Di mana anda berada? Apa kata anda? Satu pesanan : Jagalah keluarga kita dengan sebaiknya. Dampingi orang yang berilmu dan beramal.
No comments:
Post a Comment