Seorang wartawan Utusan dan jurugambar datang ke unit kaunseling pagi semalam. Tujuannya untuk bertanyakan beberapa soalan mengenai isu buli yang masih hangat diperkatakan di media-media massa. Banyak perkara telah disentuh. Pandangan ahli psikologi, sociologi dan agama. Antara pelbagai pendapat dan rumusan, ada satu yang ingin dikongsikan bersama di sini.
Bahawa sebenarnya pembuli itu adalah juga mangsa, sama seperti pelajar yang dibuli. Bahawa mereka itu perlu dibantu dan disembuhkan. Tindakan menghukum dengan undang-undang dan kritikan tidak banyak membantu mangsa tersebut. Bahkan lagi dengan umur mereka yang masih muda remaja. Sudah tentu punya ruang untuk menjadi seorang dewasa yang lebih baik. Memang bukan semua perbuatan layak diberi pendekatan begini tetapi ruang untuk membantu mangsa ini perlu dibuka seluas luasnya.
Apa yang kita lihat berlaku lebih kepada pendekatan menghukum yang menidakkan peluang mereka untuk berubah dan bertaubat. Jika mereka dikatakan bersalah kerana tindakan tersebut, maka bagaimana keadaan sistem sekolah tersebut. Adakah sistem sekolah terlalu longgar sehingga membolehkan budaya buli ini hidup subur sungguh. Adakah kerana mereka dewasa dan mempunyai kuasa, lalu kesilapan sistem yang dijalankan tidak berada di atas bahu mereka?
Fakta menyatakan fenomena ini memang berlaku di seluruh dunia dan terdapat banyak kes yang menyokong perkara ini. Adakah pembentukan peribadi dan perlakuan tidak menjadi fokus penting bagi sekolah. Mungkin kerana pencapaian akademik lebih mendapat perhatian utama. Tidakkah pembentukan peribadi baik akan memberi kesan positif kepada pencapaian akademik?
Perlu diingat bahawa kejadian buli ini juga berlaku di sekolah yang pencapaian akademiknya cemerlang. Juga memang berlaku di sekolah berorientasikan nilai agama yang kuat seperti kes adik Mohd Farid. Apa yang sebenarnya menyebabkan kejadian tersebut belum boleh dirungkaikan sepenuhnya. Pihak berwajib harus membuat rumusan yang terbaik agar perkara begini tidak merebak menjadi budaya yang dominan.
Bagi saya, pendekatan mudah ialah mengambil contoh daripada sekolah yang berjaya mengawal budaya ini dan menjadikannya satu 'SOP' kepada semua sekolah.
No comments:
Post a Comment