Aku kurang ingat samada aku pernah menulis mengenai adik Luqman. Sudah sah bahawa Luqman akan dapat adik. Sudah masuk minggu ke 12 kalau tak salah. Dua minggu lepas kami ke Sham Poliklinik Sg Ramal kerana Ita muntah teruk dan pening-pening kepala. Selepas ujian yang dibuat, Dr. mengesahkan memang positif mengandung. Aku adalah orang yang paling gembira di dalam klinik itu pada masa tersebut. Sudah lama kami mengharapkan hadirnya seorang lagi cahayamata. Luqman dah masuk empat tahun umurnya. Boleh Luqman main dengan adiknya nanti.
Walaupun gembira dengan berita tersebut, aku terpaksa membuat beberapa penyesuaian kerana alahan Ita amatlah teruk. Hidungnya menjadi amat sensitif sehingga bau nasi yang sedang dimasak dia tidak boleh tahan. Akan keluar isi perutnya. Walaupun doktor telah membekalkan navidoxine sebagai ubat penahan muntah, namun ianya seakan tidak berkesan. Bukan itu sahaja, bau minyak wangi, bau badan Luqman dan aku, bau peti sejuk dan bau santan pun menjadi masalah baginya. Kasihan sungguh aku padanya. Kalau boleh mahu saja alahan itu ditukarkan kepadaku, boleh juga aku hilang dua tiga kilogram.
Sebelum ini aku hanya mendengar cerita dari kawan-kawan mengenai alahan mengandung ini. Kini aku yang mengalaminya. Memang pelik alahan orang mengandung ini. Sekarang, menjadi rutin untuk aku membeli lauk untuk makan tengahari dan malam. Rutin yang agak tidak mengembirakan kerana kos untuk makanan meningkat tinggi dan aku sebenarnya penat dengan kerja di pejabat juga. Namun bak kata Ita, aku juga yang menjadi penyebabnya, maka terimalah seadanya. Walaupun aku tahu bukan aku seorang yang membuatnya.
Seperti biasa juga, orang mengandung ini seleranya pelik sekali. Sebelum ini tak pernah suka daging, tetapi itulah yang suka ditelannya sekarang. Juga macam-macam makanan yang jarang-jarang dimakan, seperti sushi dan Fish head kue teow. Baru-baru ini pizza pula. Aku harap janganlah dia mengidam nak makan Mee rebus Muar. Susah aku nak berkejar ke Muar pulak nanti. :)
Sabar je lah ya. Banyakkan doa dan solat sunat. InsyaAllah dimudahkan oleh Allah nanti.
No comments:
Post a Comment