Seminggu dua lepas aku ada bercakap-cakap dengan kawan-kawan sekerja yang ada hendak mencari sebuah motosikal terpakai untuk berulang-alik ke surau. Cukup sekadar motor yang cukup sifatnya dan tiada masalah enjin. Dalam perkiraanku, sekitar RM1000 hingga RM1500 adalah dalam kemampuan kewanganku sekarang. Pun begitu aku tidak berusaha mencari sebuah moto dengan aktif kerana selama ini jiranku/rakan sekerja/kawan, membenarkan aku menggunakan motor EX5 nya untuk ke surau. Bukan apa, dah diberi amanah untuk mengantikan imam yang belum diperbaharui kontraknya. Aku cuba menjalankan amanah tersebut dengan sebaiknya.
Pada satu hari di minggu lepas, bertembung dengan rakan sekerja sedang dlm perjalanan kaki ke surau. Dia bertanya jika aku betul memerlukan sebuah motor. Aku dengan pantas mengangguk mengiyakan. Katanya dia mempunyai sebuah motor yang tidak lagi dipakai kerana dia sudah membeli sebuah kancil untuk kegunaan harian. Katanya lagi dia tidak berniat hendak menjualnya sehinggalah seorang Mat Indon datang bertanya dan hendak membeli motor tersebut. Lalu dia teringat kepada kawan aku yang memberitahunya bahawa aku memerlukan sebuah motor.
Dia mencongak, daripada dijual motor tersebut kepada Mat Indon itu, baik dia bertanya aku dulu jika aku berminat dengan motor tersebut. Dia baru juga selesai 'overhaul' motor tersebut dengan kos RM350. Memang aku pernah melihatnya menaiki motor tersebut ke tempat kerja sebelum dia membeli kancil. Memang dalam keadaan baik dan tiada masalah enjin. Lalu aku bertanya harganya. Katanya memandangkan aku ni kawannya dan nak gunakan untuk ke surau, dia ingin menjualnya dengan harga rendah sahaja.
Dia menyebut harga tersebut dan aku terkedu sekejap. Aku mengulangi harga yang disebutnya untuk memastikan pendengaranku tidak salah. Dia mengangguk dan mengulangi bahawa itu ialah harga kawan-kawan. "Biar betul dia ni" hatiku berkata. Motor begitu takkanlah sampai begitu harganya. Aku tanya lagi untuk kepastian. Dia mengangguk lagi dan mengulang ayat yang sama seperti tadi. Setelah pasti apa yang ditawarkan itu, aku dengan tegasnya berkata, " Aku setuju!, nanti aku pergi bilik kau untuk bincang lanjut".
Petang itu aku ke biliknya dan menyerahkan RM200 sebagai pendahuluan untuk membeli motor tersebut. Dia agak terkejut kerana begitu cepat aku bawa duit. Aku sebenarnya tidak mahu peluang begitu terlepas kerana rasaku agak sukar untuk mendapatkan sebuah motorsikal yang sempurna dengan harga RM300. Ya, RM300.
No comments:
Post a Comment