Aku pernah baca satu jawapan daripada seorang penulis tersohor tentang bagaimana untuk menjadi penulis yang baik. Katanya " Menulis dan terus menulis". Maka aku memegang kata-kata tersebut. Dan aku terus menulis dan menulis walaupun idea seringkali melompat-lompat. Akan tiba suatu masa nanti aku akan berkata sedemikian kepada orang lain. Catatan harian kadangkala tidak terkejar oleh ruang masa yang berbaki daripada kerja hakiki yang harus dihabiskan oleh ruang masa yang ada pada kita. Aku fikir itu salah satu sebab mengapa idea seringkali melompat lompat. Terlalu banyak perkara yang hendak ditulis tetapi terlalu sedikit masa yang ada.
Mungkin bagi yang berpengalaman boleh menulisnya dalam satu masa tetapi menjadikannya dua atau tiga tulisan yang berbeza. Perlukan masa untuk membiasakan dengan cara tersebut. Apa yang kulakukan ibarat catatan harian di awal pagi atau lewat petang selepas waktu kerja. Ada yang tertinggal di mana-mana dan merata-rata. Namun tekad jua kutulis biar sedikit hasil tulisnya.
Ramai mungkin suka membaca cerita-cerita seram Tamar Jalis yang pernah popular satu masa lalu. Aku pun pernah membacanya di waktu peringkat sekolah menengah dulu. Bila diingatkan kembali episod-episod cerita tersebut, rasanya aku boleh menulis cerita aku pula. Siri bercakap dengan jin versi baru.
"Dada ku terasa sebak dan kurang selesa dengan pernafasan yang tersekat-sekat dek demam selsema yang dihidapi semenjak dua hari lalu. Oleh kerana itu juga apabila dua orang 'guard' tiba di depan rumahku pada jam satu setengah pagi, aku sudahpun jaga dari tidur yang kurang nyenyak. Dengan suara yang masih garau aku bertanya dari serambi atas apakah gerangan halnya pada pagi-pagi hari. Salah seorang memberitahu bahawa ada seorang pelajar perempuan diserang histeria. Aku lantas menyarungkan baju dan seluar dan segera menghidupkan enjin kereta ke asrama perempuan.
Dari jauh aku sudah merasakan kehadirannya. Aku terus menaiki lif untuk ke bilik pelajar terbabit ditemani dengan beberapa pelajar perempuan lain. Bila aku sampai, aku lihat pelajar tersebut sedang dipegang oleh lima orang kawan-kawannya. Aku menghampiri kepalanya dan melihat keadaannya luarannya. kawan-kawannya menceritakan apa yang berlaku sebelum itu. Aku angguk dan memulakan langkahku......
Ita dah datang, aku kena balik dulu....
No comments:
Post a Comment