Monday, July 21, 2003

Event:

Journey to Sg Petani

Bertolak dari Taman Ilmu Ikram pada jam 3.35 petang, hari Jumaat. Menaiki kereta Wira 1.5(A) berwarna merah, milik Sayuti. Sepanjang perjalanan, terasa sedikit membosankan kerana aku tidak biasa menjadi penumpang. Biasanya aku yang memegang stering kereta, tetapi kali ini aku menjadi teman pemandu. Tidak ada topik yang menarik untuk dibincangkan juga. Dengan keadaan tekakku dan sedikit selsema, perjalanan begitu agak meletihkan dan tidak begitu selesa. Pun begitu, untuk menghilangkan bosan dan keletihan, radio menjadi mesin karaoke. Suaraku yang serak menjadikannya lebih sesuai untuk bernyanyi berbanding suara biasa aku.

Jam 8.50 malam sampai ke tol Sg Petani selatan. Ternampak hotel Park Avenue, hotel yang pernah aku menginap satu masa lalu. Mencari-cari MS Garden Hotel di sekitar dan agak mudah mencarinya kerana hotelnya agak tinggi dan nama MS Garden bercahaya dalam kegelapan malam. Ada pesta buah-buahan tempatan di depan hotel. Macam-macam jenis buah ada tetapi tidak menarik minat aku. Selepas mandi dan solat, Sayuti mengajak turun untuk mencari sedikit makanan. Singgah di sebuah kedai makan dan memesan roti canai telur dan air limau nipis panas. Rancak tiga orang lelaki sebaya kami berborak di sebelah dan agaknya mereka dari Kelantan kerana 'budunya' jelas kedengaran. Rupa-rupanya salah seorang dari mereka merupakan rakan sekuliah sayuti waktu di UKM dan mereka datang juga untuk tujuan yang sama.

Esoknya awal-awal pagi turun ke cafe hotel untuk sarapan pagi. Terjumpa junior semasa di UIA dulu. Datang dengan tujuan yang sama juga. Nampak gaya macam ramai yang akan menyertai seminar ini. Dari serata negara datangnya. Sampai di Kelab Golf Cinta Sayang jam 8.00 pagi. Selepas mendaftar, terjumpa lagi beberapa kawan lama semasa satu universiti. Masa yang ada digunakan untuk bertanya khabar dan bercerita mengenai kerja masing-masing serta bertanya khabar kawan-kawan yang lain.

Jam 9.30 baru bermula sesi seminar. Perbentangan kertas kerja oleh Sohibul Samahah Mufti wilayah persekutuan, Dr. Yusof Hussain. Seminar berjalan tanpa disiplin masa yang ketat. Mungkin penceramah yang lambat atau apa saja alasan yang mungkin. Jam lima petang barulah dapat kunci bilik penginapan. Sudah agak penat kerana seharian mendengar ceramah dan makan-makan. Biliknya agak luas dengan kemudahan tv jenama meck dan astro. Bilik air juga luas, sama seperti MS Garden. Aircond single unit dan ada peti simpanan keselamatan. Rindu pulak pada Ita dan Luqman. Kalau bawa sekali rasanya lagi seronok. Baru dua minggu lepas aku bawa mereka ke genting highland.

Jam 9.30 malam, majlis perasmian baru bermula. Jam 10.05 minit malam aku keluar dan balik ke bilik. Penat dan mengantuk sangat. Aku perasan ramai juga peserta yang tiada. Agak lambat program itu bermula, ada yang sudah keluar ke pekan sg petani dan ada yang hanya duduk di bilik. Aku duduk di bilik dan tanpa kusedari, duniaku sudah gelak gelita. Dua tiga kali terjaga kerana rasa panas. Mungkin aircondnya tidak kena sangat ke bahagian aku kerana katil aku dekat dengan aircond.

Jam 1.30 program berakhir dengan majlis penutup dan makan tengahari. Secara kasarnya aku bagi markah 6 daripada 10. Banyak aspek perlu ditingkatkan dan diberi penekanan pada masa akan datang. Tuan pengarah Pusat Islam UUM dalam ucapan akhirnya berkata " Saya rasa tidak lagi cinta dan sayang kepada tempat ini kerana masalah yang ditimbulkan.". Kami tinggalkan Kelab Golf Cinta Sayang dan ahli jawatankuasa perlaksana program. Kami bertolak pulang jam 2.30 petang. Masuk ke KL entah melalui jalan mana tetapi aku sampai melalui putra jaya. Rasanya lagi dekat daripada melalui lebuhraya kesas. Sampai ke rumahku jam 7.31 malam. Azan maghrib sedang berkumandang. Hilang penat bila memeluk Luqman dan menerima kucupan dari Ita.

No comments: