Malam Puisi Santai
SK. Putrajaya II
21hb Jun 2003
Kami bertolak dari Taman Ilmu Ikram pada jam 8.30 malam dengan bas kolej dipenuhi dengan pelajar seramai 30 orang. Hanya tiga daripadanya lelaki. Dua orang pensyarah juga bersama kami. Sayuti dan Hilal. Hilal membawa seorang rakannya daripada Kemboja bersama. Perjalanan hanya mengambil masa 15 minit. Kami tidak dapat memasuki pintu pagar sekolah dengan rasa sangsi kerana bangunannya terlalu cantik. Tidak pernah aku melihat sebuah sekolah sebegitu cantik.
Di sambut oleh penyelaras program, En. Sazali daripada Biro Tata Negara. Lalu diterangkannya konsep majlis pada malam itu. Konsep santai. Penonton boleh duduk di mana mahu kecuali di empat meja dikhaskan buat tetamu kehormat. Kami dibawa ke sebuah meja tetamu di tengah-tengah dataran perhimpunan yang berbumbung cantik. Masih boleh nampak bulan, bintang dan awan. Kami dikenalkan dengan dua orang anak muda. Dua-duanya berambut panjang. Seorang tampak amat biasa kulihat. Nah, memang semestinya kerana mereka itu adalah anak-anak sasterawan negera yang ulung. Dato’ A. Samad Said. Az dan Helmy.
Beruntung sekali rasanya boleh duduk sekali dengan mereka dan berbicara tentang dunia sastera dan buku. Bicara juga mengenai kegilaan Harry Potter di seluruh dunia termasuk di Malaysia. Apa mungkin penulis Malaysia boleh membuat satu ‘Breakthrough’ sebegitu. Sempat juga aku lontarkan suara tentang ‘Kelab Buku Terbang’ Geng Jurnal. Idea hebat katanya.
Giliranku menyampaikan sebuah sajak tiba awal sungguh. Giliran ke empat rasanya. Oh ya.. hadir sama ialah Dato’ Dr. Nordin Kardi, Lin Swee Tin dan kumpulan Now See Heart. Tiga orang pelajar kolej turut mendeklamasikan puisi karya Mahzan. Ternyata mereka memang berbakat sekali.
Az mempersembahkan tiga lagu. Sebuah lagu diciptanya semasa Kembara Bahasa bersama ayahnya di Perak. Sebuah lagi sempena puisi pendek karya ayahnya juga bertajuk “Jentik Kelip”. Lagu terakhir ialah sebuah petikan hebat gitar bersuara gambus. Katanya sempena hajatnya yang belum kesampaian untuk belajar bermain gambus.
Nowseeheart mempersembahkan tiga lagu. Damai, Kuharap cinta dan Damai yang hilang. Lim Swee Tin mendeklamasikan dua sajaknya bertemakan keamanan.
Aku sempat membeli buku karya Dato’ A Samad Said yang terbaru “ Suara Dari Dinding Dewan”. Koleksi puisi selama dua tahun. Kebanyakannya belum pernah diterbitkan di mana-mana. Siap dengan autograf dari Dato’ A. Samad Said sendiri. Bagiku itu yang amat bernilai sekali.
+ 23 Jun 2003
Pendaftaran pelajar baru. Lebih kurang 300 semuanya. Orientasi lagi.
+ Esok 6.45 pagi kot keluar lagi kat rancangan Keluarga di TV1
No comments:
Post a Comment