Monday, March 22, 2004

Buku catatan sejarah tanahair dicatat lagi. Kali ini kemenangan Barisan Nasional dan seorang individu yang biasa dipanggil Pak Lah di dalam pilihanraya umum ke sebelas. BN menang besar dikebanyakan negeri dan mengurangkan majoriti dua pertiga DUN Kelantan. Ramai yang meletakkan kejayaan tersebut sebagai kejayaan Pak Lah yang membawa imej yang diterima ramai golongan rakyat jelata. Namun beberapa insiden semasa pengundian mencemarkan kredibiliti SPR yang diterajui oleh Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman (pernah bekerja bawah dia nih.. isk isk).

Gelombang di Terengganu memang boleh dirasakan kebanyakan orang. Namun gelombang di Kelantan tiada siapa yang merasa. Tiba-tiba sahaja melanda. Teringat semasa empat tahun dahulu apabila pulang ke kampung untuk mengundi. Sudah terasa bahang kemenangan Pas di Terengganu pada masa itu. Samalah juga bahang yang dirasakan pada pagi Ahad, semasa tiba dari Kuala Lumpur untuk menyahut tanggungjawab warga yang taat. Abah awal-awal lagi bercerita tentang kemenangan BN yang katanya sudah begitu pasti tanpa ragu-ragu. Pun begitu aku masih ragu ianya akan menjadi begitu sehinggalah melihat keadaan sekitar KT dan apabila sampai ke rumah.

Proses mengundi begitu mudah dan cepat. Hanya 200 meter dari rumah. Saluran tiga yang dikhususkan kepada golongan muda ternyata tiada barisan panjang. Hanya tiga orang menunggu didepanku dan Ita. Setelah mendapat kertas undi, aku terus memangkah calon pilihan. Ita menurut di belakangku membuat urutan kerja yang sama. Sekejap sungguh selesai proses mengundi.

Bercakap dengan kedua-dua pihak membolehkan aku melihat senario terkini. Ternyata gelombang biru memang sudah melanda dan memberi kesan kepada keseluruhan kawasan negeri. Yang aku dapat perhatikan, ramai wakil rakyat yang tidak memberikan prestasi yang baik dalam masa empat tahun ini. salah satu sebab yang dirasakan.

Hmmm.. tak sempat menulis panjang. Tuntutan kerja hakiki memerlukan aku berada di luar pejabat. Orientasi pelajar baru sedang berlansung dan aku perlu memantau aktiviti terkini. Chioww....

Tuesday, March 16, 2004

What a live! I manage to cure myself from the sick experience of the interview. Yesterday I tried to find details about the interviewer and manage to get some particulars. I want to remember this face so that, I would remember when I met her again. It's just typical academic chauvinist who can't stand others who step on their areas. They know all and we know nothing. Pity them who got that kind of attitude.

I found some rooms and alternative to replace the frustration and I will go for it. My mental state return to normal and everythings look positive again. Live still going tough and I still have to eat rice everyday.

The best thing could happen now is a new baby. Ita's period is now a week late and she's been vomitting several morning. That could be a positive sign I guess. I really hope and pray it is true. InsyaAllah...

Monday, March 15, 2004

Tak pernah merasa terhina dan terganggu minda sedemikian rupa. Satu tamparan yang maha hebat pernah aku rasakan. Rasa seakan disiat maruah dan harga diri. Tergamam seketika tanpa bicara. Bicara seterusnya terus hilang arah tuju dan tidak tersusun. Terasa juga seakan seorang pesalah undang-undang yang menunggu masa untuk dijatuhkan hukuman. Lantas sesi temuduga tersebut berakhir dengan begitu cepat sekali. Tiada soalan lagi ditanyakan kepadaku. Seperti seorang pesalah yang berada di depan hakim dan peguam. "No further question, you can go now".

Tak pernah terganggu fikiran dan emosi begitu sekali. Memandu ke PWTC dengan perasaan yang bercelaru. Keyakinan pada diri sendiri tercalar dan tergugat. Kepercayaan kepada diripun menjadi goyah. Agaknya dari wajahku mungkin dapat dilihat kegusaran yang membukit tingginya. Tidak tahu apa yang patut aku fikirkan. Gambaran sewaktu temuduga tadi diulang tayang secara automatik tanpa henti. Suara penemuduga tersebut juga bergema-gema di dalam kepalaku. Biasanya tanda-tanda ini aku lihat ada pada pelajar yang menghadapi masalah. Kini tanda-tanda tersebut ada pada diriku.

Aku memerlukan seorang pendengar pada waktu ini. Ataupun seorang kaunselor untuk mendengar masalah aku pada waktu ini. Aku hubungi seorang kawan dan dia memberi beberapa patah semangat bagi melalui cabaran ini. Belum cukup untuk aku sembuh. Bukan semua orang terdekat boleh menjadi pendengar yang baik. Belum tentu ahli keluarga boleh membantu kita bila diperlukan begini. Susah payah terpaksa menguatkan semangat dan bertugas di pameran pendidikan MARA, berjumpa dan bercakap dengan orang ramai. Rakan setugas juga menjadi teman bicara soal hidup yang berkait dengan pengalaman yang baru dialami.

Ada sesiapa yang sudi mendengar?

Thursday, March 11, 2004

Aku berjaya mendapatkan ruang masa untuk pulang mengundi walaupun berada di tengah-tengah program orientasi di mana aku dipertanggungjawabkan untuk memimpinnya. Aku akan pulang pada malam Ahad dengan bas dan pulang kembali ke sini pada Malam Isnin. Program hari Ahad akan dikendalikan oleh kawan-kawan yang mengundi di KL. Ita dan Luqman akan tinggal di kampung sehingga hari Rabu. Biarlah diaorg tinggal lama sedikit. Bagi Luqman main-main dengan Husna lama sikit. Tok, tok wan, tok nyan pun dah lama tak jumpa Luqman. Mesti seronok diaorg tu nanti.

UPM panggil temuduga untuk mendapatkan tempat untuk menyambung master di sana. Hari sabtu ini jam 9 pagi di bilik kaunseling A, kata pegawai En. Idris melalui telefon pada petang Selasa lalu. Sesuai sangatlah masa yang diberikan tu. Harap-harap tidak perlu beratur panjang dan habis lambat kerana ada 'roadshow' di PWTC dan aku kena bertugas mulai jam 10 pagi. Pameran pendidikan tahunan anjuran MARA. Kena pula 'booth' yang di depan. Mesti penuh dengan manusia nanti. Kena sediakan lebih banyak brosur kecil.

Semalam Ita muncung sikit sebab aku beli kasut bola adidas dan seluar snails. Tengah-tengah gawat ekonomi pun aku pantas membeli juga. Dahlah dengan pendapatan seorang, nak balik kampung lagi minggu depan. Entah berapa akan habis. Mesti kena hadkan juga. Tapi aku beli kerana nilai belian itu sebenarnya. Harga kasut adidas tersebut memang murah, hanya RM49.00. Biasa dijual dengan harga RM99.00. Tempatnya ialah di PKNS Bangi. Memang tengah murah kerana kedai tu nak habiskan stok kasut yang semuanya saiz besar-besar. 9 sampai 12 saiznya. Tak pernah aku tengok pemain bola di Malaysia pakai saiz tu. Mungkin itu sebabnya dijual murah-murah sebab susah nak jual saiz tu. Ada juga saiz kanak-kanak tetapi agak besar untuk Luqman. Kalau tidak mungkin aku beli juga. Seluar snails tu pulak harganya RM29.00. Tengah tak cukup seluar ni jadi memang wajarlah aku rasa. hehehe.. sabor je lah ya.



Monday, March 08, 2004

Demam pilihanraya sudah bermula. Kedinginannya sudah terasa bila membaca akhbar harian. Sudah bertukar daripada agenda biasa. seratus peratus perasa dan pewarna. Tidak elok untuk kesihatan kita. Kena jauhkan nampak gayanya. Kalau selalu terdedah boleh menyebabkan beberapa penyakit, terutama penyakit sakit hati. Jadi bagi mereka yang tidak biasa menggunakan perasa dan pewarna, dinasihatkan untuk mengelakkan dari memandang akhbar harian.

Dalam berita TV yang juga sekarang penuh dengan bahan perasa dan pewarna, ada satu berita yang agak menarik. Kenyataan dari orang besar SPR yang mengatakan tidak boleh menggunakan cara 'temporal threat' atau ugutan pilihanraya kepada pengundi kerana takut pengundi tidak berfikir bebas apabila mengundi nanti. Lansung dari bahan politik entah dari mana yang mengatakan undi sekian-sekian masuk syurga. Itu merupakan ancaman dan ugutan katanya.. Lalu dengan minda yang dikurniakan Allah, dibelek dan didengar berita-berita lainnya. Kata mereka.. Kawasan yang tak mengundi bla bla akan menyebabkan kemunduran. Ahhh.. apakah ini satu lawak kelakar untuk orang politik sahaja. Tidakkah itu juga merupakan satu ancaman dan ugutan yang sebenarnya lebih berkesan kerana lebih ramai manusia yang takutkan kemunduran/tak membangun daripada benda benda lain.

Melawat laman-laman web mereka pun terasa kelakarnya. Entah berapa ramai yang tergelak bila mendengar atau membaca cerita begini. Anda bagaimana?

*Aarghh.. kemungkinan besar aku tidak boleh mengundi kali ini kerana hari ahad tersebut, ada program dan aku terpaksa bekerja. Mungkin akan hantar Ita dan Luqman balik. Sekurang-kurangnya Ita boleh mengundi.

Pelajar sudah mula cuti selama tiga minggu. Agak sunyi keadaan kampus pada masa sekarang. Boleh tumpukan kepada kerja perancangan.

Thursday, March 04, 2004

Musim kedua For Love or Money

20 wanita dijanjikan wang 1 juta jika berjaya menawan hati seorang jejaka yang ingin mencari teman hidup. Si jejaka tidak mengetahui bahawa wanita yang dipilihnya akan memenangi duit 1 juta sehinggalah tinggal dua orang wanita sahaja. Kemudian si jejaka diberitahu rahsia duit tersebut dan jika wanita yang dipilih itu juga memilih jejaka tersebut, dia juga akan mendapat 1 juta dolar. Bagi dua orang wanita tadi pula diberitahu bahawa mereka tidak boleh memilih kedua-dua jika si jejaka tadi memilih salah seorang dari mereka. Mereka mesti memilih duit tersebut ataupun jejaka tersebut sahaja. Jika mereka menyambut lamaran jejaka tersebut, maka duit itu akan lesap. Jika dia memilih duit 1 juta maka dia mesti menolak lamaran jejaka tersebut.

Si jejaka amat tertarik dengan wanita yang lebih sofisticated dan kelihatan lebih matang serta sedikit jual mahal. Padahal dia tahu bahawa seorang lagi itu memang menyintainya sepenuh hati cuma wajahnya sedikit kebudak budakan dan kelihatan kurang matang. Jika dia memilih wanita tersebut dia pasti dia akan mendapat duit 1 juta kerana wanita tersebut pasti akan juga memilihnya bukanlah wang 1 juta tersebut. Namun si jejaka memilih gerak hatinya dan memilih wanita yang lebih disukainya. Memang benarlah jangkaannya bahawa wanita itu menolaknya dan memilih duit sejuta tersebut. Si jejaka pulang dengan tangan kosong dan terpaksa mengecewakan wanita yang benar-benar menyayanginya.

Lalu sipemenang duit sejuta ini diberi cek tersebut. Selepas dua minggu wanita tersebut dipanggil semula. Kali ini dia ditawarkan wang dua juta pula sekiranya dia memilih seorang jejaka daripada 20 jejaka yang berada di tempat yang dia pernah lalui sebelum ini. Kisah yang sama tetapi agak berbeza kerana kali ini 20 jejaka akan cuba memenangi hatinya dan berpeluang untuk memenangi wang sejuta juga.

Pandai sungguh dipereka rancangan ini. Memang jelas nilai duit atau cinta yang menjadi pilihan manusia. Subjek yang agak kabur bagi manusia untuk dinilaikan menjadi begitu jelas. Kita biasa mendengar orang berkata bahawa manusia bisa bahagia dengan cinta atau wang. Namun yang mana akan menjadi pilihan kita sekiranya diberi dua pilihan. Cinta belum tentu bahagia selamanya, begitu juga duit, belum tentu kita akan bahagia dengan duit yang banyak.

Fikir fikirkan...

Tuesday, March 02, 2004

Hari ini nak bercerita santai mengenai 'Reality Show' daripada kilang hiburan terbesar dunia, Hollywood. Disiarkan dalam saluran 70, yang bertajuk "For Love or Money". Ini adalah musim kedua rancangan ini dibuat. Berbeza dengan musim pertama di mana 20 wanita dibawa ke sebuah istana lama yang tersergam indah di pinggir bandaraya Paris. Wanita tersebut telah dikhabarkan bahawa lelaki yang mereka akan temui telah mewarisi harta sejumlah USD10 juta. Lelaki ini akan memilih seorang di antara mereka untuk dilamar sebagai teman hidup. Maka bermulalah persaingan wanita wanita tersebut untuk memenangi hati lelaki kacak tersebut yang sebenarnya hanyalah seorang peladang miskin. Setelah beberapa lama, jumlah wanita semakin kurang kerana tidak dipilih oleh lelaki tersebut untuk kekal lebih lama.

Sehinggalah tinggal dua orang wanita. Seorang guru dan seorang eksekutif. Wanita terakhir yang dipilih tersebut ialah guru tersebut. Dan diberitahu kepada mereka berdua bahawa sebenarnya lelaki tersebut hanyalah peladang miskin dan tidak mewarisi harta tersebut. Lalu diberi pilihan kepada guru tersebut samada masih mahu meneruskan hubungan dengan lelaki tersebut. Si eksekutif merasa lega kerana tidak terpilih oleh sebab harta tersebut sebenarnya tidak wujud. Namun demikian guru tersebut membuat keputusan untuk meneruskan hubungan dengan peladang tersebut. Kemudian, tiba saat yang mengejutkan iaitu pengacara program memberikan sekeping cek kepada mereka berdua sejumlah USD1 juta.

Musim kedua selepas ini... tunggguuu... :)