Semester Baru
Kampus menerima kembali ribuan pelajar yang memasuki semester baru. Masing-masing dengan karakter yang tersendiri. Secara umumnya ramai pelajar yang berkemampuan dan yang menjadi buktinya ialah kehadiran dengan kereta-kereta mewah dan baru. Kebarangkalian besarnya ialah milik ibubapa mereka tetapi kebenaran yang diberikan oleh para ibubapa menunjukkan mereka mempunyai banyak lagi kereta. Seperti Mahzan cakap “ Kalau anak dah pakai Perdana V6 atau Mercedes E280, agaknya ayah mereka pakai jet “ . Walau dengan nada jenaka, ada juga kebenarannya.
Apabila pelajar mendaftarkan diri untuk masuk semester baru, maka sudah tentu keputusan semester lalu menjadi penentuan utama. Adakah lulus cemerlang, sederhana, lulus semua, cukup-cukup makan atau gagal satu dua subjek. Atau mungkin gagal untuk meneruskan pelajaran dan terpaksa di’tendang’. Pencapaian pelajar lansung tidak selari dengan kereta yang mereka pakai. Ramai yang merangkak-rangkak dan kadang-kadang tidak lansung menunjukkan wajah risau apabila statusnya diletakkan “gagal berhenti”. Mungkin meraka yakin banyak lagi kolej swasta yang mahu menerima mereka ini dengan tangan terbuka.
Lalu, unit kaunseling menjadi lebih sibuk daripada biasa dengan lawatan pelajar yang bermasalah dalam keputusan mereka. Ada juga yang mengadu bermasalah dengan keputusan ‘teman’ mereka. Perkara yang sama diulang-ulang siaran. Disiplin, mengurus diri, mengurus aktiviti sosial dan jelas matlamat dalam pembelajaran. Walau sering kali diulang-ulang perkara yang sama, namun peratus yang berbekas masih juga rendah. Pelajar yang sama berjumpa semasa sebelum peperiksaan sebulan lepas kerana masalah kedatangan ke kelas. Semestinya ianya mempunyai kesan lansung kepada pencapaian pelajar. Gagal datang ke kelas dikaitkan dengan gagal bangun tidur pada awal pagi. Gagal bangun tidur awal dikaitkan dengan gagal tidur awal. Gagal tidur awal dikaitkan dengan gagal mengawal diri untuk mengamalkan cara hidup pelajar yang sihat. Sebaliknya dihabiskan dengan keluar dengan kawan-kawan atau berkumpul sesama kawan-kawan sehingga awal pagi.
Lantas, tidak hairan pelajar ini mengalami masalah dalam pelajarannya. Terlajak kata mungkin boleh minta maaf, tetapi jika tertinggal masa, ia tidak akan datang kembali. Kalaulah ada ‘cip’ yang boleh ditanam dalam otak-otak pelajar ini untuk mengingatkan keutamaan sebagai pelajar iaitu BELAJAR, mungkin boleh mengubah pencapaian pelajar ini. Itu mungkin diabad yang akan datang atau di dalam siri cerita fiksyen seperti Matrix. Hakikatnya banyak lagi usaha yang perlu di rancang pada masa akan datang untuk membimbing pelajar-pelajar ini supaya boleh mencapai keputusan yang membanggakan.
No comments:
Post a Comment