Wednesday, November 19, 2003

Alhamdulillah acara Iftar Perdana 1424H semalam berjalan dengan lancar dengan kehadiran penuh para pelajar dan kebanyakan staf universiti. Dari jam enam petang lagi pelajar dan tetamu sudah mula hadir. Exco MPP yang dilantik sebagai penyambut tetamu sedikit gugup kerana belum betul-betul bersedia sambil aku masih berada di rumah. Bergegas ke tempat majlis dengan pakaian melayu berwarna puth lengkap bersamping songket berwarna kuning. Seingat aku inilah kali pertama aku memakai pakaian sebegitu dalam acara di universiti ini. Biasanya aku hanya mengenakan baju melayu dan seluar slack atau kain pelekat sahaja. Oleh kerana berperanan sebagai pengarah program dan tetamu kehormatnya ialah seorang Tan Sri Dato', maka aku rasa perlu.

Jam enam setengah, hampir separuh tempat sudah diisi oleh pelajar dan tetamu. Bos ku masih belum nampak batang hidungnya. Katanya dia akan datang dengan Dato' O*ar. Jam 6.35 petang, Mr Lor, ketua pegawai keselamatan menghubungi aku mengatakan Tan Sri Dato' sudah sampai. Aduh! lansung tiada VIP yang sudah sampai untuk menyambut Tan Sri. Aku membukakan pintu V6 executive kelabu itu dan membawa Tan Sri ke bilik tetamu. Beberapa minit sebelum itu, seorang tetamu jemputan Bos ku, orang Arab bersama dengan keluarganya sampai dan dibawa juga ke bilik tetamu.

Dalam bilik tetamu mujurlah ada Pak Arab tu bersama-sama. Boleh Tan Sri borak2 dengan dia. Cakap Arab. Mujur aku fahamlah jugak tidak rasa kekok sangat. Tan Sri pun speaking arab, tapi campur-campur English juga. Ala kulli hal alaikum an yadrusu haza lluroh. Kaifa arabi? Syuwaiya bas! Selepas itu Presiden MPP menyertai kami di bilik tetamu. Lagu nasyid sedang berkumandang lantang menggunakan sistem audio boleh bawa.

Tup-tup jam 6.45 petang barulah bos dan Dato' O*ar sampai. Jam 6.50 petang aku mempelawa semua tetamu untuk mengambil tempat di meja makan. Mahzan membuat pengumuman mengenai aturcara pada malam itu dan menyerahkan mikrofon kepada Bilal untuk azan maghrib. Aku antara orang terakhir duduk di kerusi untuk makan. Perlu memastikan semua orang dalam keadaan selesa mendapat tempat.

Paling lambat menghadap hidangan tetapi paling awal menyudahi juadah. Bergegas mengingatkan semua pelajar supaya bergerak ke dewan besar untuk solat maghrib berjemaah. Boleh dikatakan hampir semua pelajar lelaki merokok selepas makan. Melambatkan proses ke dewan. Ramai juga yang nampaknya bergerak ke arah yang berlawanan. Balik ke hostel. Aku sedikit menjerit mengingatkan sebahagian pelajar " tak nak solat pun takapa, asalkan pergi ke dewan." Rupa-rupanya ramai pelajar yang tidak solat. Rasanya dalam 30 peratus sahaja pelajar yang berbuka puasa, bersolat maghrib di dewan. Hakikat kehidupan di sini. Ada idea ke?

Program berjalan lancar sehingga majlis moreh jam sembilan malam. Jam sembilan setengah, semuanya selesai dan selepas bersalam salaman dan mengucapkan terima kasih kepada yang bekerja, aku bergegas balik dalam keadaan yang penat. Pulang disambut oleh Luqman yang terus memintaku bermain computer game dengannya di bilik atas. Aduh.. penat belum hilang sudah ditarik-tarik ke atas. Penat memang penat, namun masa bersama anak tidak kurang juga pentingnya. Beginilah, bila umur meningkat, tanggungjawab semakin bertambah. Esok datang lagi hari ini. Tanggungjawab tidak pernah kurang.

No comments: