Hari Ahad lepas, semasa menghantar Adawiyah dan kawannya yang datang menghabiskan cuti hujung minggu di rumah ke stesen komuter Serdang, ternampak meriahnya padang di tepi tasik Mines Resort City. Penuh dengan layang-layang berterbangan di udara. Cantik sungguh permandangannya. Sampai sahaja di rumah aku terus mencadangkan kepada Ita dan Luqman untuk ke sana. Dalam masa 15 minit, kami siap untuk ke sana.
Ramai betul orang bermain layang-layang dan ramai juga yang menjual layang-layang. Aku membeli sebuah layang-layang berwarna pelangi berbentuk segitiga dan berekor tiga. Harganya RM10 bersama dengan talinya. Tidaklah mahalkan? Sebenarnya aku tidak pernah lagi bermain layang-layang di Kuala Lumpur ini. Memang seingat aku, kali terakhir aku bermain layang-layang ialah semasa di kampung pada umur-umur kecilku. Layang-layangnya bukan macam di sini. Biasanya kami buat sendiri. Nasi, kertas surat khabar atau kertas minyak dan buluh yang diracik sendiri. Biasanya berteraju dua. Kadang-kadang kalau ada duit kami beli wau yang sudah siap di kedai. Kalau tak salah harganya dalam RM0.50 sen sahaja. Tetapi kertasnya amat mudah koyak dan perlu ditambah ekornya supaya lebih stabil semasa di udara.
Apabila semakin besar umur, aku mula meneliti golongan yang lebih berusia membuat wau yang lebih besar. Biasanya wau burung atau wau bulan menjadi pilihan. Prosesnya lebih rumit dan teliti tetapi hasilnya sudah tentu lebih cantik dan menarik. Tali yang digunakan juga lebih kuat dan panjang sekali. Kalau di bawah saiznya semeter setengah, bila di udara hanya sebesar hujung jari.
....
Aku mengambil jarak yang sesuai dan tempat yang masih kosong. Sekali cuba sahaja, layang-layang KL ku sudah naik tinggi. Luqman sudah tak sabar-sabar nak memegang talinya. Aku pastikan ketinggiannya stabil dahulu baru aku serahkan kepada Luqman. Gembira benar dia memegang tali layang -layang itu. Pengalaman pertama baginya juga. Ita hanya duduk memerhatikan dari jauh. Dengan keadaan angin yang baik, layang-layang KL ku terbang semakin tinggi.
Aku bawa bersama Nikon SLR ku untuk mengabadikan detik pertama Luqman bermain layang-layang. Malang sekali kerana apabila suiz dibuka, tanda 'error' dipaparkan dengan gambar bateri yang kehabisan. Aku tidak hairan kerana minggu lepas tenaga bateri tersebut telah dikerah sepenuhnya untuk menyalakan 'flash' semasa kunjungan ke pameran motor antarabangsa KL. Aku sudah membayangkan keadaan tersebut, walaupun begitu, ada sedikit kekecewaan yang aku rasa kerana tidak dapat mengabadikan suasana yang amat cantik ini dalam rakaman waktu.
Pelbagai ragam aku lihat di padang luas itu. Kebanyakkannya adalah golongan kanak-kanak bersama ibubapa. Beberapa pasangan muda mudi hanya memerhatikan dari tepi padang atau dari dalam kereta. Ada yang terkial-kial hendak menaikkan layang-layang. Ada yang punya layang-layang canggih dan tinggi terbangnya. Ada yang tidak peka dengan kedudukan mereka dan memangkah tali layang-layang orang lain. Ada satu lagi yang menarik hati. Seorang ayah dan dua anak meningkat remaja membawa sebuah wau burung buatan sendiri sederhana besarnya. Beberapa kali dicuba, wau tersebut tidak mahu naik. Kerapkali berpusing-pusing dan jatuh. Si anak nampak sedikit kecewa tetapi siayah terus berusaha. Naik sedikit tetapi berpusing-pusing kiri dan kanan secara aggresif dan jatuh semula. Naik lagi dan jatuh lagi, kali ini patah kepalanya dan tidak boleh naik lagi. Akhirnya siayah belikan layang-layang moden.
Rasanya tidak berapa sesuai jika wau burung dimainkan di tempat-tempat sedemikian kerana setahu aku wau burung adalah wau yang dimainkan secara aggresif dan memerlukan ruang udara yang luas untuk 'manourver' yang pelbagai. Agaknya seperti jet pejuang dan kapalterbang penumpang kecil dan ringan.
.....
Semalam, aku cuba naikkan layang-layang tersebut di padang depan rumah tetapi malangnya angin tidak bertiup kuat, sebentar sahaja ia terbang. Hari ini tengok keadaan angin, kalau baik boleh main lagi.
No comments:
Post a Comment