Wednesday, May 12, 2004

Belangsukawa Hj. Abdul Rahim bin Arjo

Kembali ke rahmatullah pada hari Sabtu lalu pada jam 6.00 petang. Bapa saudara yang senior kepada keluarga isteri. Beliau pada hayatnya dikenali dengan orang yang begitu mudah tersenyum dan disenangi oleh ramai orang. Sementalaah beliau juga dilantik menjadi imam kampung tersebut. Sangat rajin bekerja dan mengerjakan kebun-kebun yang agak luas. Mudah menghulurkan bantuan apabila diperlukan. Anak-anak beliau semuanya berjaya dalam bidang masing-masing.

Masih aku ingat waktu majlis perkahwinanku dulu. Beliaulah orangnya yang mengetuai rombongan pihak perempuan daripada Johor bertandang ke Terengganu. Beliau juga yang menjadi wakil keluarga perempuan apabila pihak keluarga aku menghantar rombongan meminang dahulu. Tutur katanya amat teratur dan bahasanya amat disenangi. Secara tidak lansung beliau memainkan peranan sebagai orang tua bagi keluarga isteriku kerana kedua-dua orang tua telah kembali ke rahmatullah.

Beliau amat dihormati di kalangan keluarga dan adik beradiknya yang agak ramai. Semasa Hari Raya, rumah beliau menjadi rumah pertama untuk diziarahi saban tahun. Masih aku ingat tahun lalu, apabila berkunjung ke rumahnya semasa Hari Raya. Beliau kelihatan agak uzur dan badannya sedikit susut. Kata Wak Semi, Wak Kasih (nama panggilan keluarga pada beliau) kesihatan Wak Kasih semakin tidak stabil. Dia juga telah melepaskan jawatan imam kampung kerana kesihatan yang kurang mengizinkan.

Pada petang malam sabtu selepas aku pulang dari surau selepas isya’, aku lihat isteriku kelihatan semacam. Memandang aku bagai ada sesuatu yang tidak kena. Aku tanya tapi dia diam. Selepas beberapa lama, dia pun bersuara. Katanya dalam nada sebak, “Wak Kasih telah meninggal”. Aku pun terdiam seketika. Aku faham bagaimana perasaan isteriku kerana beliau amat rapat dengan keluarga isteriku.

Tanpa lengah, aku cadangkan untuk bertolak pada waktu itu juga. Aku kemaskan beg sementara Ita menunaikan solat Isya’. Kami bertolak dari rumah lebih kurang jam 9.15 mlm dan mencari tempat makan dahulu. Singgah di tempat rehat Nilai untuk mengisi perut dan sampai ke kampung lebih kurang jam satu pagi.


No comments: