Sunday, May 25, 2003

Lawatan pelajar Sekolah Menengah Keb. Agama Sheikh Hj. Mohd Said, Negeri Sembilan.

Hari khamis lepas Marlina menelefon memberitahu ada satu lawatan dari Sekolah Men. Keb. Agama Sheikh Hj. Mohd Said dari Negeri Sembilan pada hari Sabtu. Sekolah ini memang sudah lama aku kenali. Semenjak dari zaman aku bersekolah menengah lagi. Namanya seakan-akan nama sekolahku sendiri. Sek. Men. Keb. Agama Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu. Aku menunggu-nunggu kedatangan hari Sabtu.

Jam 10.30 pagi, bas yang membawa 38 orang pelajar dari sekolah tersebut tiba di pintu utama. Diiringi oleh dua orang guru. Cikgu Faizal dan Cikgu Rabiatul Adawiyah. Sesi makan pagi, lawatan, taklimat dan makan pagi begitu cepat berlalu. Terima kasih atas lawatan tersebut. Peluang memberi ceramah aku gunakan juga untuk mempromosi laman ini. Beberapa orang pelajar mengajukan soalan mengenai kerjaya masa hadapan semasa lawatan ke perpustakaan. Ada yang bertanya bagaimana boleh mereka menyertai pasukan sauber petronas sebagai jurutera. Aku nyatakan bahawa untuk berjaya menjawat jawatan sebegitu, mereka perlu bermula dari sekarang. Untuk menyertai sebuah pasukan berteknologi tinggi yang bersaing di kalangan jurutera terbaik, mereka tidak dapat tidak mesti menjadi yang terbaik dalam bidang masing-masing. Mulakan dengan SPM. Cemerlang dalam SPM memungkinkan kita memilih tempat terbaik di IPTA atau Matrikulasi. Cemerlang dalam matrikulasi memungkinkan mereka memperolehi tajaan SKIM PELAJAR CEMERLANG MARA. Membolehkan mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah di Universiti ternama luar negeri.

Perjalanan masih jauh tetapi ia mesti dimulakan dari sekarang. Matlamat dan minat yang jelas akan memberikan kita cukup motivasi untuk mencapai kejayaan. Mulakan perjalanan anda dari sekarang.

No comments: