Thursday, May 22, 2003

Aku tak suka makan roti yang ada inti. Sebab kedudukan inti dia tak sama tengah. Kadang-kadang kita makan hujung yang tak ada inti kemudian dah hujung-hujung banyak pulak inti dia. Tak gemar sungguh makan roti macam tu. Sebab itu roti kentang(potato bun) menjadi pilihan. Tak risau belah mana duduk inti dia sebab memang tak ada inti. Makan sambil pejam mata pun boleh. Kenapa inti roti tak sama tengah agaknya. Adakah kilang membuat roti masih menggunakan tangan manusia untuk mengisi inti roti? Ataupun roti itu sendiri memang tidak mengembang dengan sekata? Antara persoalan yang aku lontarkan kepada Mahzan apabila dia membeli tiga buku roti ada inti dan memberikan sebiji kepadaku. Ganti makan malam kerana kami sedang menunggu dalam jabatan kecemasan hospital Putrajaya, lewat petang hari Selasa lalu. Reef, Mahzan dan aku berkejar ke Hospital Putrajaya membawa seorang pelajar baru yang cedera semasa aktiviti meredah halangan dalam program orientasi.

Lebih empat jam kami menunggu. Mujurlah kami bertiga, tidak bosan sangat rasanya kerana boleh berborak dan bergurau senda. Kami hampir menghafal keseluruhan kenyataan mengenai kes-kes kecemasan yang diletakkan di dinding Jabatan kecemasan itu. Ada 21 kes yang dikategorikan sebagai kecemasan. "Anda boleh membantu orang yang menghadapi kecemasan dengan tidak datang ke unit kecemasan". Menarik motto dia. Kami mencipta bahasa kecemasan untuk kegunaan harian. Contohnya.. " Eh.. kenapa awak ni no. 17?" No. 17 bermaksud "Kabur penglihatan dan pitam". Atau " Tadi aku no. 20 kemudian jadi 15 pulak, tak tahulah kenapa?". Eh.. lupalah pulak apa maksud no tu. Tapi no 21 aku masih ingat. Muntah-muntah yang kerap semasa kehamilan. No. 4 Patah tulang. No 13, tarikh harijadi Reef, ialah Menjadi agresif dan tidak dapat dikawal.

Pelbagai ragam dapat dilihat di situ. Walau penantian bukanlah sesuatu yang indah, namun kami berjaya mengharunginya dengan gelak ketawa dan perbincangan yang menarik. Waktu aku menelefon bapanya, rasa agak risau, takut-takut ibu bapanya panik dan bergegas ke hospital. Tetapi yang berlaku sebaliknya. Ayahnya amat 'cool' apabila mendengar berita dari aku. Lega rasanya. Kita sudah merancang dengan baik tetapi malang memang tiada bau. Amat penting bagi kita bersedia dan berhati-hati dalam pekerjaan kita sehari-harian. Itulah pentingnya insuran kan? Sapa tak beli insuran lagi nih? Cepat beli insuran. Masuk hospital pun dapat duit.

*reef = fasilitator orientasi, pelajar BBA/UUM.
*mahzan = pensyarah LAN, masih bujang dan banyak duit.

No comments: