Sudah lama jurnal tidak dikemaskini. Entry terakhir menjanjikan cerita raya yang tidak kunjung nyata. Dah habispun bulan Syawal. Bagai sekelip mata ia berlalu. Sebagaimana berlalunya Ramadhan lalu. Begitu pantasnya perjalanan waktu, begitulah pantasnya meningkatnya umur kita. Yang pasti, semakin banyak masa yang kita lalui dimuka dunia ini, kita tidak tahu berapa banyak atau sikit lagi yang tinggal untuk kita bernafas di dunia ini.
Projek pertandingan nasyid pada 23 Disember lepas berjalan lancar dan mendapat pujian ramai. Aku rasa puas kerana kerja keras sepanjang dua minggu membuahkan hasil yang membanggakan. Kumpulan jemputan Far East juga memberikan persembahan yang hebat. Semua agak terkejut dengan kemampuan vokal Far East kerana sebelum ini kurang pernah mendengar mengenai kumpulan ini. Walaupun dihujani dengan pujian, namun aku masih melihat beberapa kelemahan yang ketara dalam program kali ini. Akan dicatatkan dalam fail post mortem nanti. Satu lagi perkara yang aku sedikit terkilan ialah apabila Dato' tidak tersebut nama aku dan menyebut nama orang lain yang tidak terlibat dalam ucapannya. Kadang-kadang menyebut nama sudah cukup sebagai imbuhan kerja yang penat.
Baru sahaja selesai pertandingan nasyid tersebut, bergegas ke Johor. Mulanya ke Parit Sulong, pada hari Krismas dan ke JB untuk urusan rombongan peminangan ke Taman Delima 2. Rombongan orang muda semuanya. Kedua orang tua sudah tiada maka adik beradik menjadi orang tua. Kelakar rasanya apabila orang muda berbicara tanpa ada lapik kata kiasan atau pantun. Terus kepada topik seperti dalam mesyuarat pejabat rasanya. Mujur tuan rumah tidak ambil berat sangat soal adat-adat lama. Diturut sahaja cara rombongan yang datang. Kita diminta memberikan ucapan penutup. Agak tersasul menyusun bicara secara spontan.
Selesai kerja peminangan, kerja perkahwinan pula menunggu. Rasa tak larat nak ceritakan tentang kerja perkahwinan ini. Mungkin di entry yang seterusnya.
No comments:
Post a Comment