Tuesday, May 06, 2003

Hari Rabu malam jam 8.15 malam, aku bertolak ke Parit Sulong, melalui Tangkak dan Muar. Jam 10.30 malam tiba ke kampung Parit Tegak. Luqman sudah lama terlelap di tempat duduk belakang. Baru terasa punggungku sedikit kebas apabila keluar dari kereta. Abang Ani sudah menunggu di depan pintu menyambut kami. Nampak ada kereta kancil di sebelah rumah. Mungkin itulah kereta yang baru dibelinya seperti yang diberitahu oleh Kak Zimah minggu lalu apabila Ita menelefonnya. Makanan sudah disiapkan walaupun kami sudahpun makan sebelum bertolak. Namun aku dan Ita menjamah jua sebagai tanda hormat. Selesai menunaikan Solat Isya' , Ita membentangkan Toto di depan TV di ruang tamu. Luqman masih tidur dengan nyenyak. Biasanya dia akan ke bilik air sebelum tidur. Risau sekiranya cuaca sejuk pada malam hari akan menyebabkab dia kencing malam. Alhamdulillah pada paginya, seluarnya masih kering.

Pagi-pagi lagi Abang Ani dengan Kak Ida keluar. Mungkin ke pasar. Lebih kurang jam sepuluh, mereka pulang. Kami bertiga pula yang keluar ke pekan Parit Sulong. Jalan Parit Tegak masih seperti dulu cuma lalangnya agak tinggi. Mungkin sudah lama tidak dipotong. Air parit pula nampaknya agak tinggi. Di sebelah daratnya sedikit melimpah ke halaman rumah orang kampung. Beberapa kanak-kanak aku lihat bermandi manda dalam parit yang besarnya lebih kurang enam meter itu. Sebelum sampai ke pekan, Kami singgah ke makam Tok Mak dan Tok Abah Luqman yang kedua-duanya aku tidak sempat jumpa masa hayatnya.

Sampai ke pekan, suasana agak sunyi kerana hari Khamis. Kalau hari Rabu, keadaannya tentu berbeza. Kami pergi ke kedai basikal. Sudah janji pada Luqman nak belikan sebuah basikal untuknya. Memang sengaja dirancang untuk belikan basikal di parit sulong kerana harganya jauh lebih murah berbanding dengan harga di Kuala Lumpur. Luqman memilih sebuah basikal yang berwarna biru kerana tempat duduknya ada gambar 'spiderman'. Aku dah Ita lebih suka yang berwarna merah kerana nampak lebih menyerlah tetapi tempat duduknya tiada gambar 'spiderman'. Kami berjaya memujuk Luqman untuk memilih basikal merah itu. Dengan harga RM45, basikal tersebut bertukar tuan. Di Kuala Lumpur, basikal yang sama berharga RM75. Aku sudah melawat beberapa kedai sebelum ini di Kuala Lumpur.

Menyusuri ruang kedai di pekan kecil itu, banyak benda yang menarik perhatian Luqman. Terutamanya barang mainan dan VCD Ultraman. Mulanya kami tidak bercadang hendak membelikan Luqman permainan lagi, tetapi kerana dia berkeras hendakkan VCD Ultraman, kami belikan sekeping dengan harga RM7( yang ada kelulusan finas -Bukan cetak rompak). Ita membeli enam biji mangkuk di kedai serbaneka di sebelah pasar. Aku membeli suratkhabar dan majalah Gempak. Lama sangat tak baca komik.

Pukul empat petang, Ita kejutkan aku. Aku nak menonton rancangan David Blaine, The Street Magician. Ini kali kedua TV menyiarkan aksi David Blaine ini. Aksi silap matanya amat radikal dan berbeza dengan aliran popular. Dia tidak menggunakan dewan untuk persembahan tetapi menggunakan jalanan sebagai gelanggangnya. Aku memang meminati bidang ini dari dulu lagi. Pernah sekali aku membeli buku bagaimana untuk membuat silap mata. Ada beberapa silap mata yang aku boleh mainkan dengan baik. Aku suka melihat sesuatu silap mata itu dan cuba memikirkan bagaimana ianya dilakukan. Banyak yang boleh diterangkan dan difahami tetapi silap mata si David Blaine ini agak luarbiasa. Sememang silap mata biasanya luar biasa tetapi silap matanya membuatkan orang ramai tidak terkata. Seakan tiada ruang bagi minda manusia untuk merasionalkannya.

Biasanya orang akan berkata: " Biasalah, dah gunakan sihir. Memanglah boleh buat,". Ita pun berkata sedemikian. Walaupun aku akur hakikat kewujudan sihir dan kemampuannya, aku tidak mahu berfikir begitu. Mesti ada ruang bagi penjelasan saintifik. Aksi membaca minda dengan tepat. Mencari kad yang dipilih. Melukis objek yang dilukis orang tanpa melihatnya dan aksi terapung dari tanah. Memang menakjubkan. Sambil melihat, sambil fikiran aku menconggak kemungkinan-kemungkinan yang boleh diterangkan. Selepas habis rancangan tersebut aku minum petang dengan hidangan ubi keledek ketuk. Enak sungguh rasanya. Aku mencuba yang dibuat oleh David Blaine. Aku suruh Ita pilih satu nombor 1 hingga seratus. Satu nombor genap kedua-duanya. Percaya atau tidak aku menekanya dengan tepat. Perkara yang sama aku ulang kepada Kak Zimah. Sekali lagi aku memberikan angka yang tepat.

Pada fikiran aku, tidak mustahil untuk kita membaca fikiran manusia kerana sudah diketahui bahawa manusia mempunya rentak dan corak pemikiran yang tersendiri. Otak manusia contohnya memproses huruf dan perkataan dalam bentuk 'sequential' dan 'linearity'. Cara berfikir manusia boleh diteka dengan membuat satu 'database' mengenai corak pemikiran otak sejumlah manusia. Satu bidang yang amat menarik untuk diterokai.

Selepas Asar, kami bertolak ke Kulai. Ke rumah Kak Zimah yang baru dibelinya. Semua sudah menunggu di sana. Kak Long, Abg Zaid dan askar-askarnya, Kak Nana dalam perjalanan juga dengan Abg Man dan Atikah. Busu memang sudah lama di sana berehat kerana kemalangan tempoh hari. Nanti aku ceritakan cerita di Kulai pula.

No comments: