Tuesday, November 11, 2003

Kedatangan Ramadhan setiap tahun pasti mengandungi pelbagai pengalaman yang unik. Tahun lepas menyambut Ramadhan di Cheras Perdana. Tiada indah dan nikmat menyambut ramadhan di sana. Suasana yang sukar untuk ku menikmatinya. Surau terletak jauh dari rumah dan jiran-jiran hanya dua tiga orang yang berkenal mesra. Tetamu datang disambut dengan salakan anjing besar jiran sebelah, membuatkan hati tidak gembira. Berterawikh di samping saudara yang nama tidak dikenali dan tanpa menyapa mesra selepas selesai terawikh sedikit sebanyak menghilangkan ruh terawikh itu sendiri. Lantas sedikit sukar untuk memberi komitmen harian untuk beribadah di situ. Rumah menjadi tempat terawikh kedua bersama-sama isteri tercinta.

Tahun ini berbeza benar sambutan Ramadhan di sini. Walaupun warga kuarters hanya enam buah rumah, namun ruh Ramadhan sangat terasa. Sudah 15 hari bulan Ramadhan dilalui dan ianya penuh dengan keindahan. Bersama tanggungjawab yang diberi sebagai setiausaha surau, tanpa paksa komitmen diberikan sepenuh tenaga dan masa. Menyelaraskan aktiviti berbuka puasa dan sumbangan dari kalangan pekerja-pekerja syarikat dan memastikan solat terawikh dilaksanakan tanpa gagal. Para pelajar banyak membantu dalam hal penyediaan makanan dan kemas mengemas. Terasa benar indahnya Ramadhan kali ini. Alhamdulillah aku berada di dalam Ramadhan ini. Kalau diberi pilihan agar Ramadhan dipanjangkan sebulan lagi, aku memang sanggup.

Pesan pada diri, agar penghujung Ramadhan yang membawa "pembebasan dari api neraka" ini dapat dijalani dengan lebih tekun. Minta dijauhkan dari kesibukan untuk menyambut syawal. Pesan pada isteri supaya menguntukkan masa di siang hari untuk bersiap raya. Jika perlu, bercuti di siang hari untuk tidak menganggu ibadah di malam hari.

Kesibukan tugas masih dirasa. Terutama apabila sudah sampai ke penghujung tahun ini. Banyak perkara perlu disiapkan dan perlu dilaksanakan. Sesi penilaian (appraisal) tugas sudah dibuat. Sudah dibuat sasaran kerja tahun hadapan. Walaupun kerja tahun ini masih berbaki banyak. Cuti pun tidak sempat. Masih ada 16 hari cuti tahun ini. Mungkin dibawa tahun hadapan 10 hari. Oh ya.. hari ini kena siapkan dokumen ISO untuk audit dalaman.

Salam Ramadhan 1424 H

No comments: