Friday, November 21, 2003

Catatan terakhir sebelum bercuti raya selama lebih kurang seminggu. Mengikut fikiranku, masa terbaik untuk bertolak balik kampung ialah pada pagi Ahad, selepas Subuh. Lebih kurang jam 5.40 pagi. Nak mengelakkan kesesakan di bandar Karak kalau bertolak malam hari selepas terawikh. Lagipun lepas terawikh penat dan cepat mengantuk. Kurang sesuai untuk perjalanan jauh.

Aku masih belum beli apa-apa untuk diri sendiri dan Ita. Seluar Luqman pun belum dibeli lagi. Mungkin hari Sabtu ini akan keluar untuk membeli sedikit keperluan raya.

Hari Jumaat yang sedikit suram dengan hujan di pagi hari. Semalam berlansung majlis berbuka puasa bersama-sama dengan kakitangan prota*co berhad. Aku dipertanggungjawabkan untuk memimpin solat berjemaah dan solat terawikh. Aku buat sebaik mungkin. Kalau diikutkan seniority, ramai lagi yang lebih senior tapi mereka naik lambat ke surau dan duduk saf belakang. Dalam jawatankuasa surau, aku diletak sebagai imam 3. Imam pertama pergi umrah. Imam kedua dah balik kampung. Tinggallah imam 3 takde pillihan :)

Ramai dah balik kampung hari ni. Pejabat pun dah suasana cuti. Ramai orang sudah mula bercuti terutama yang kampungnya jauh. Hmmm... akhir kata
Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Habiskan terawikh yang hujung-hujung ni. Mungkin kita akan bertemu dengan lailatul qadar.


Thursday, November 20, 2003

Catatan pendek di akhir Ramadhan

Bersemadi jasadmu yang kaku
ditemani gerimis yang sendu
air mata tidak terbendung lagi
menangisi perpisahan ini

----
Aku masih mahu berada di bulan Ramadhan.

Penat bekerja dan tidak cukup masa untuk menguruskan semua perkara.

Persediaan aidilfitri belum sempurna. Hanya baju untuk Luqman dah dibeli.

Selamat Menyambut Syawal yang bakal menjelma, takbir dilaungkan tahmid dibacakan, sebulan puasa telah disempurnakan.

Kepada yang memandu, Sila pandu dengan cermat. Ingat kereta lain jugak. Jangan ingat kita seorang je nak cepat. Kalau pemurah sila potong line masuk line kecemasan. RM300 sekali saman.

Kepada yang menunggang motosikal, tambah hati-hati kerana jumlah kereta makin banyak di jalan raya. Oh ya! semalam baru test moto Aprilia 125CC Faizal punya. Sempat gear dua je sebab tak cukup jalan.

Budak laki dan perempuan dok makin asyik berperang mercun. Budak perempuan kata budak lelaki mula dulu tapi aku dok tengok diaorg pun sama je ganasnya. Tembak sana tembak sini, ingat orang tak nampak dia yang dok dalam gelap tu.

Nampak gaya komuniti gengjurnal kurang aktif pada bulan pose ni. Terutama geng2 yang dah berkeluarga.

Wednesday, November 19, 2003

Alhamdulillah acara Iftar Perdana 1424H semalam berjalan dengan lancar dengan kehadiran penuh para pelajar dan kebanyakan staf universiti. Dari jam enam petang lagi pelajar dan tetamu sudah mula hadir. Exco MPP yang dilantik sebagai penyambut tetamu sedikit gugup kerana belum betul-betul bersedia sambil aku masih berada di rumah. Bergegas ke tempat majlis dengan pakaian melayu berwarna puth lengkap bersamping songket berwarna kuning. Seingat aku inilah kali pertama aku memakai pakaian sebegitu dalam acara di universiti ini. Biasanya aku hanya mengenakan baju melayu dan seluar slack atau kain pelekat sahaja. Oleh kerana berperanan sebagai pengarah program dan tetamu kehormatnya ialah seorang Tan Sri Dato', maka aku rasa perlu.

Jam enam setengah, hampir separuh tempat sudah diisi oleh pelajar dan tetamu. Bos ku masih belum nampak batang hidungnya. Katanya dia akan datang dengan Dato' O*ar. Jam 6.35 petang, Mr Lor, ketua pegawai keselamatan menghubungi aku mengatakan Tan Sri Dato' sudah sampai. Aduh! lansung tiada VIP yang sudah sampai untuk menyambut Tan Sri. Aku membukakan pintu V6 executive kelabu itu dan membawa Tan Sri ke bilik tetamu. Beberapa minit sebelum itu, seorang tetamu jemputan Bos ku, orang Arab bersama dengan keluarganya sampai dan dibawa juga ke bilik tetamu.

Dalam bilik tetamu mujurlah ada Pak Arab tu bersama-sama. Boleh Tan Sri borak2 dengan dia. Cakap Arab. Mujur aku fahamlah jugak tidak rasa kekok sangat. Tan Sri pun speaking arab, tapi campur-campur English juga. Ala kulli hal alaikum an yadrusu haza lluroh. Kaifa arabi? Syuwaiya bas! Selepas itu Presiden MPP menyertai kami di bilik tetamu. Lagu nasyid sedang berkumandang lantang menggunakan sistem audio boleh bawa.

Tup-tup jam 6.45 petang barulah bos dan Dato' O*ar sampai. Jam 6.50 petang aku mempelawa semua tetamu untuk mengambil tempat di meja makan. Mahzan membuat pengumuman mengenai aturcara pada malam itu dan menyerahkan mikrofon kepada Bilal untuk azan maghrib. Aku antara orang terakhir duduk di kerusi untuk makan. Perlu memastikan semua orang dalam keadaan selesa mendapat tempat.

Paling lambat menghadap hidangan tetapi paling awal menyudahi juadah. Bergegas mengingatkan semua pelajar supaya bergerak ke dewan besar untuk solat maghrib berjemaah. Boleh dikatakan hampir semua pelajar lelaki merokok selepas makan. Melambatkan proses ke dewan. Ramai juga yang nampaknya bergerak ke arah yang berlawanan. Balik ke hostel. Aku sedikit menjerit mengingatkan sebahagian pelajar " tak nak solat pun takapa, asalkan pergi ke dewan." Rupa-rupanya ramai pelajar yang tidak solat. Rasanya dalam 30 peratus sahaja pelajar yang berbuka puasa, bersolat maghrib di dewan. Hakikat kehidupan di sini. Ada idea ke?

Program berjalan lancar sehingga majlis moreh jam sembilan malam. Jam sembilan setengah, semuanya selesai dan selepas bersalam salaman dan mengucapkan terima kasih kepada yang bekerja, aku bergegas balik dalam keadaan yang penat. Pulang disambut oleh Luqman yang terus memintaku bermain computer game dengannya di bilik atas. Aduh.. penat belum hilang sudah ditarik-tarik ke atas. Penat memang penat, namun masa bersama anak tidak kurang juga pentingnya. Beginilah, bila umur meningkat, tanggungjawab semakin bertambah. Esok datang lagi hari ini. Tanggungjawab tidak pernah kurang.

Monday, November 17, 2003

Dapat email dari seorang kawan bertajuk : what animal are you?
October 1 - 15 ~ Monkey (ita)
October 16 - 27 ~ Turtle
October 28 - 31 ~Panther (aku)

Panther
You are mysterious. You have lots of friends and can be mean at times or nice. You always have the latest gossip with you and you are a leader.

Monkey
You are attractive and hyper. You have a lot of friends and your really outgoing. You gossip alot. Your funky and "unique" theres no one else like you. You want attention and like to be a leader

Ikut jadual tu, aku jadi Harimau hitam dan Ita jadi monyet. Aku baca penerangan pasal binatang tu pastu aku gelak. Kemudian baca yang Ita punya pulak, aku gelak lagi kuat. Lansung tak kena terutama yg Ita punya tu. Isk2 memang betul ramai orang tak de keje yea. Sampai mende mcm ni pun diaorg buat. Tapi ada orang suka baca benda2 mcm ni, terutama para remaja dan golongan wanita. Ramai yang kata "Eh, mmg betul lah apa dia kata." "a'aa lah mmg aku camtu" dan lain-lain lagi.

Hakikatnya apa yg diperkatakan ialah sifat manusia secara umum. Sedikit sebanyak ada dalam diri kita. Cuma kita sebenarnya yang kurang kenal diri sendiri dan terpegun apabila orang lain boleh memberitahu siapa kita. Manusia memang mempunyai satu jenis corak personaliti yang boleh dilihat melalui tingkah laku dan anggota badan. Cara berfikir manusia pun ada coraknya. Ada orang bekerja mengkaji corak pemikiran manusia dan corak kemahuan manusia. Mari kita sendiri yang berfikir tentang diri kita. Ambil masa sekejap dan tulis apa yang kita tahu ttg diri kita. Kritik diri sendiri dan kenalpasti kekuatan yang ada dan tingkatkannya.

Pernah satu ketika dulu, masa program orientasi pelajar baru, aku tengok satu tangan pelajar yang menjadi fasilitator program pastu bagitahu dia mcm mana personalitinya dan bagaimana keadaan hubungan sosialnya. Dia terkejut dan gembira semacam je. Dua tiga hari lepas tu, dia bawak 4,5 org kawan dia datang ke bilik dan minta ditengok tangan diaorg. Cakaplah juga sikit-sikit, yang baik-baik lah. Kelakar pulak rasanya dia org ni. Lepas tu ada lagi satu kumpulan datang. Eh, dah jadi tempat tengok tangan pulak bilik kaunseling ni.

* Minggu terakhir bekerja sebelum raya. Minggu ni akan jadi pendek je sebab terlalu banyak event akan berlaku. Esok event besar iaitu Majlis Berbuka Puasa Perdana 1424H yang akan dihadiri oleh Tan Sri Dato' Dr. Abdul H*mid O*hman dan aku jadi pengarah program ni. InsyaAllah berjalan dengan lancar.


Thursday, November 13, 2003

Semester Baru

Kampus menerima kembali ribuan pelajar yang memasuki semester baru. Masing-masing dengan karakter yang tersendiri. Secara umumnya ramai pelajar yang berkemampuan dan yang menjadi buktinya ialah kehadiran dengan kereta-kereta mewah dan baru. Kebarangkalian besarnya ialah milik ibubapa mereka tetapi kebenaran yang diberikan oleh para ibubapa menunjukkan mereka mempunyai banyak lagi kereta. Seperti Mahzan cakap “ Kalau anak dah pakai Perdana V6 atau Mercedes E280, agaknya ayah mereka pakai jet “ . Walau dengan nada jenaka, ada juga kebenarannya.

Apabila pelajar mendaftarkan diri untuk masuk semester baru, maka sudah tentu keputusan semester lalu menjadi penentuan utama. Adakah lulus cemerlang, sederhana, lulus semua, cukup-cukup makan atau gagal satu dua subjek. Atau mungkin gagal untuk meneruskan pelajaran dan terpaksa di’tendang’. Pencapaian pelajar lansung tidak selari dengan kereta yang mereka pakai. Ramai yang merangkak-rangkak dan kadang-kadang tidak lansung menunjukkan wajah risau apabila statusnya diletakkan “gagal berhenti”. Mungkin meraka yakin banyak lagi kolej swasta yang mahu menerima mereka ini dengan tangan terbuka.

Lalu, unit kaunseling menjadi lebih sibuk daripada biasa dengan lawatan pelajar yang bermasalah dalam keputusan mereka. Ada juga yang mengadu bermasalah dengan keputusan ‘teman’ mereka. Perkara yang sama diulang-ulang siaran. Disiplin, mengurus diri, mengurus aktiviti sosial dan jelas matlamat dalam pembelajaran. Walau sering kali diulang-ulang perkara yang sama, namun peratus yang berbekas masih juga rendah. Pelajar yang sama berjumpa semasa sebelum peperiksaan sebulan lepas kerana masalah kedatangan ke kelas. Semestinya ianya mempunyai kesan lansung kepada pencapaian pelajar. Gagal datang ke kelas dikaitkan dengan gagal bangun tidur pada awal pagi. Gagal bangun tidur awal dikaitkan dengan gagal tidur awal. Gagal tidur awal dikaitkan dengan gagal mengawal diri untuk mengamalkan cara hidup pelajar yang sihat. Sebaliknya dihabiskan dengan keluar dengan kawan-kawan atau berkumpul sesama kawan-kawan sehingga awal pagi.

Lantas, tidak hairan pelajar ini mengalami masalah dalam pelajarannya. Terlajak kata mungkin boleh minta maaf, tetapi jika tertinggal masa, ia tidak akan datang kembali. Kalaulah ada ‘cip’ yang boleh ditanam dalam otak-otak pelajar ini untuk mengingatkan keutamaan sebagai pelajar iaitu BELAJAR, mungkin boleh mengubah pencapaian pelajar ini. Itu mungkin diabad yang akan datang atau di dalam siri cerita fiksyen seperti Matrix. Hakikatnya banyak lagi usaha yang perlu di rancang pada masa akan datang untuk membimbing pelajar-pelajar ini supaya boleh mencapai keputusan yang membanggakan.

Wednesday, November 12, 2003

Heboh satu Malaysia! Memang betul seperti yang didengar dari pelbagai sumber. Beratus-ratus *ato' dilahirkan dalam setahun. Memang boleh masuk rekod Malaysia Boleh. Kalau setahun dalam 400 Dato', 5 tahun kita dah ada 2000 lato' kat Malaysia ni. Wah! memang rekod tu. Jadi bos syarikat yang untung juta-juta setiap tahun mesti ada nama lato' depannya kalau tidak tak kena dengan status dan keretanya. Memang ada negeri yang mudah betul nak dapat gelaran tu. Sensitif tak ni yea? Bila tiba hari lahir, beri sumbangan yang patut, pastu tunggu surat sampai tahun depannya. Apa agaknya perkembangan isu ini esok lusa. Adakah istana masih utuh atau eksekutif politik punya cukup kuasa menjinakkannya.

Raya sudah semakin dekat. Majlis buka puasa dah semakin banyak. Minggu ini sahaja ada tiga majlis buka puasa. Semalam ada satu kat *quatorial Bangi. RM48 satu kepala. Makanannya memang semua ada. Semua selera nafsu ada. Kambing panggang sekor, kebab, ikan udang ketam sotong bakar, sate, nasi, itik panggang, udang masak cili, murtabak, roti canai, kuih muih, pelbagai kek, roti jala, buah jambu madu, rambutan dll, aiskrim, air batu campur buat sendiri dan pelbagai jenis minuman. Tak habis lagi tu. Yang disenaraikan adalah yang sempat memenuhi ruang perut yang ada.

Hari ni cuti Nuzul Quran untuk negeri Selangor. KL tak cuti, jadi Ita kerja juga. Tertidur depan tv selepas subuh sampai jam lapan. Ita dah pegi kerja. Lansung tak kejutkan. Ada pesanan SMS je. Banyak jugak kerja nak dibuat hari ni. Kerja ISO masih belum siap sepenuhnya. Tengahari nanti nak ke klinik homeopati nak hantar Luqman. Komputer kat rumah masih kong dan perlu diinstall balik windows xp nya. Baru teringat! aku kena cari vga driver utk motherboard tu.

Let's do it!



Tuesday, November 11, 2003

Kedatangan Ramadhan setiap tahun pasti mengandungi pelbagai pengalaman yang unik. Tahun lepas menyambut Ramadhan di Cheras Perdana. Tiada indah dan nikmat menyambut ramadhan di sana. Suasana yang sukar untuk ku menikmatinya. Surau terletak jauh dari rumah dan jiran-jiran hanya dua tiga orang yang berkenal mesra. Tetamu datang disambut dengan salakan anjing besar jiran sebelah, membuatkan hati tidak gembira. Berterawikh di samping saudara yang nama tidak dikenali dan tanpa menyapa mesra selepas selesai terawikh sedikit sebanyak menghilangkan ruh terawikh itu sendiri. Lantas sedikit sukar untuk memberi komitmen harian untuk beribadah di situ. Rumah menjadi tempat terawikh kedua bersama-sama isteri tercinta.

Tahun ini berbeza benar sambutan Ramadhan di sini. Walaupun warga kuarters hanya enam buah rumah, namun ruh Ramadhan sangat terasa. Sudah 15 hari bulan Ramadhan dilalui dan ianya penuh dengan keindahan. Bersama tanggungjawab yang diberi sebagai setiausaha surau, tanpa paksa komitmen diberikan sepenuh tenaga dan masa. Menyelaraskan aktiviti berbuka puasa dan sumbangan dari kalangan pekerja-pekerja syarikat dan memastikan solat terawikh dilaksanakan tanpa gagal. Para pelajar banyak membantu dalam hal penyediaan makanan dan kemas mengemas. Terasa benar indahnya Ramadhan kali ini. Alhamdulillah aku berada di dalam Ramadhan ini. Kalau diberi pilihan agar Ramadhan dipanjangkan sebulan lagi, aku memang sanggup.

Pesan pada diri, agar penghujung Ramadhan yang membawa "pembebasan dari api neraka" ini dapat dijalani dengan lebih tekun. Minta dijauhkan dari kesibukan untuk menyambut syawal. Pesan pada isteri supaya menguntukkan masa di siang hari untuk bersiap raya. Jika perlu, bercuti di siang hari untuk tidak menganggu ibadah di malam hari.

Kesibukan tugas masih dirasa. Terutama apabila sudah sampai ke penghujung tahun ini. Banyak perkara perlu disiapkan dan perlu dilaksanakan. Sesi penilaian (appraisal) tugas sudah dibuat. Sudah dibuat sasaran kerja tahun hadapan. Walaupun kerja tahun ini masih berbaki banyak. Cuti pun tidak sempat. Masih ada 16 hari cuti tahun ini. Mungkin dibawa tahun hadapan 10 hari. Oh ya.. hari ini kena siapkan dokumen ISO untuk audit dalaman.

Salam Ramadhan 1424 H

Friday, November 07, 2003

Dipetik daripada salah satu email yg dikirimkan oleh seorang sahabat. Tidak dituliskan siapa penulis cerita ini. Sekadar renungan untuk kita semua..


Hati Seorang Ayah

Suatu ketika, ada seorang anak perempuan yang bertanya kepada
ayahnya, tatkala tanpa sengaja dia melihat ayahnya sedang mengusap
wajahnya yang mulai berkerut-merut dengan badannya yang
terbongkok-bongkok, disertai suara batuk-batuknya.

Anak perempuan itu bertanya pada ayahnya : "Ayah, mengapa wajah
ayah kian berkerut-merut dengan badan ayah yang kian hari kian
membongkok ?"

Demikian pertanyaannya, ketika ayahnya sedang berehat di beranda.



Si ayah menjawab : "Sebab aku lelaki."

Anak perempuan itu berkata sendirian : "Aku tidak mengerti".

Dengan kerut-kening kerana jawapan ayahnya membuatnya termenung
rasa kebingungan.

Ayah hanya tersenyum, lalu dibelainya rambut anaknya itu, terus
menepuk-nepuk bahunya, kemudian si ayah mengatakan : "Anakku,
kamu memang belum mengerti tentang lelaki."

Demikian bisik Si ayah, yang membuat anaknya itu bertambah
kebingungan.

Kerana perasaan ingin tahu, kemudian si anak itu mendapatkan ibunya
lalu bertanya kepada ibunya : "Ibu, mengapa wajah Ayah jadi
berkerut-merut dan badannya kian hari kian membongkok?
Dan sepertinya ayah menjadi demikian tanpa ada keluhan dan rasa
sakit ?"

Ibunya menjawab : "Anakku, jika seorang lelaki yang benar-benar
bertanggungjawab terhadap keluarga itu memang akan demikian."

Hanya itu jawapan si ibu. Si anak itupun kemudian membesar dan
menjadi dewasa, tetapi dia tetap juga masih tercari-cari jawapan,
mengapa wajah ayahnya yang tampan menjadi berkerut-merut dan
badannya menjadi membongkok?

Hingga pada suatu malam, dia bermimpi. Di dalam impian itu seolah-
olah dia mendengar suara yang sangat lembut, namun jelas sekali. Dan
kata-kata yang terdengar dengan jelas itu ternyata suatu rangkaian
kalimah sebagai jawapan rasa kebingungannya selama ini.

"Saat Ku-ciptakan lelaki, aku membuatnya sebagai pemimpin keluarga
serta sebagai tiang penyangga dari bangunan keluarga, dia senantiasa akan
berusaha untuk menahan setiap hujungnya, agar
keluarganya merasa aman, teduh dan terlindung."

"Ku ciptakan bahunya yang kuat dan berotot untuk membanting-
tulang menghidupi seluruh keluarganya dan kegagahannya harus
cukup kuat pula untuk melindungi seluruh keluarganya."

"Ku berikan kemahuan padanya agar selalu berusaha mencari sesuap
nasi yang berasal dari titisan keringatnya sendiri yang halal dan
bersih, agar keluarganya tidak terlantar, walaupun seringkali dia
mendapat cercaan dari anak-anaknya".

"Ku berikan keperkasaan dan mental baja yang akan membuat dirinya
pantang menyerah, demi keluarganya dia merelakan kulitnya
tersengat panasnya matahari, demi keluarganya dia merelakan
badannya berbasah kuyup kedinginan dan kesejukan kerana tersiram
hujan dan dihembus angin, dia relakan tenaga perkasanya dicurahkan
demi keluarganya, dan yang selalu dia ingat, adalah disaat semua
orang menanti kedatangannya dengan mengharapkan hasil dari jerih-
payahnya."

"Kuberikan kesabaran, ketekunan serta kesungguhan yang akan
membuat dirinya selalu berusaha merawat dan membimbing
keluarganya tanpa adanya keluh kesah, walaupun disetiap perjalanan
hidupnya keletihan dan kesakitan kerapkali menyerangnya".

"Ku berikan perasaan cekal dan gigih untuk berusaha berjuang demi
mencintai dan mengasihi keluarganya, didalam suasana dan situasi
apapun juga, walaupun tidaklah jarang anak-anaknya melukai
perasaannya, melukai hatinya.

Padahal perasaannya itu pula yang telah memberikan perlindungan
rasa aman pada saat dimana anak-anaknya tertidur lelap. Serta
sentuhan perasaannya itulah yang memberikan kenyamanan bila saat
dia sedang menepuk-nepuk bahu anak-anaknya agar selalu saling
menyayangi dan saling mengasihi sesama saudara."

"Ku berikan kebijaksanaan dan kemampuan padanya untuk
memberikan pengertian dan kesedaran terhadap anak-anaknya
tentang saat kini dan saat mendatang, walaupun seringkali ditentang
bahkan dikotak-katikkan oleh anak-anaknya."

"Ku berikan kebijaksanaan dan kemampuan padanya untuk
memberikan pengetahuan dan menyedarkan, bahawa isteri yang baik
adalah isteri yang setia terhadap suaminya, isteri yang baik adalah
isteri yang senantiasa menemani, dan bersama-sama menghadapi
perjalanan hidup baik suka mahupun duka, walaupun seringkali
kebijaksanaannya itu akan menguji setiap kesetiaan yang diberikan
kepada isteri, agar tetap berdiri, bertahan, sepadan dan saling
melengkapi serta saling menyayangi."

"Ku berikan kerutan diwajahnya agar menjadi bukti, bahawa lelaki
itu senantiasa berusaha sekuat daya fikirnya untuk mencari dan
menemukan cara agar keluarganya dapat hidup didalam keluarga
bahagia dan badannya yang terbongkok agar dapat membuktikan,
bahawa sebagai lelaki yang bertanggungjawab terhadap seluruh
keluarganya, senantiasa berusaha mencurahkan sekuat tenaga serta
segenap perasaannya, kekuatannya, kesungguhannya demi
kelanjutan hidup keluarganya."

"Ku berikan kepada lelaki tanggungjawab penuh sebagai pemimpin
keluarga, sebagai tiang penyangga ( seri / penyokong ), agar dapat
dipergunakan dengan sebaik-baiknya. Dan hanya inilah kelebihan
yang dimiliki oleh lelaki, walaupun sebenarnya tanggungjawab ini
adalah amanah di dunia dan akhirat."

Terkejut si anak dari tidurnya dan segera dia berlari, berlutut dan
berdoa hingga menjelang subuh. Setelah itu dia hampiri bilik ayahnya
yang sedang berdoa, ketika ayahnya berdiri si anak itu menggenggam
dan mencium telapak tangan ayahnya.

"Aku mendengar dan merasakan bebanmu, ayah."




Thursday, November 06, 2003

Berita kemalangan malam tadi mengejutkan seluruh warga Ikram. Sebuah kereta pacuan empat roda, Ford Ranger bertembung dengan bas ekspress utama di Kilometer 88, Jalan Kuantan-Kuala Lumpur, dekat Simpang Jengka, Maran, petang semalam. Dalam kejadian pada jam 2.15 petang itu, Raja Arman Raja Mohd Ariffin, 29, dari Putrajaya; Mohd Mustafa Md Dali, 39, dari Taman Maluri, Kuala Lumpur; dan Khairul Nizam Yamin, 21, dari Jitra, Kedah, mati di tempat kejadian.

Mangsa yang parah ialah pemandu kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger yang belum diketahui identitinya. Dia dan tiga yang terkorban menaiki kenderaan itu, manakala 15 mangsa cedera ringan ialah penumpang bas ekspres.

Kami semua mengenali Allahyarham Raja Arman. Pagi ini semua bercerita mengenai mengenainya. Beliau seorang yang amat disenangi semua orang. Seorang ahli surau dan agak warak orangnya. Teringat kepada email-email yang dikirimnya biasanya berisi tazkirah dan ilmu-ilmu Islam. Ternyata Allah lebih menyayanginya dan dalam bulan yang mulia ini, beliau pergi menghadap-Nya. Ditinggalkan dua orang anak dan seorang isteri. Isterinya seorang peguam, tinggal di Putrajaya. Semoga isterinya tabah menghadapi dugaan ini.

Terfikir sejenak betapa manusia tiada daya menahan ajal maut. Bila agaknya masa kita? Terasa takut juga memikirkannya. Bimbang tidak cukup amal yang diterima Allah. Kenapa tidak dalam bulan yang mulia ini yang sudah masuk peringkat 'Keampunan', kita gandakan amalan kita semua.