Penat!. Tiga hari yang agak memenatkan fizikalku. Karnival Pendidikan Mara peringkat kebangsaan di PWTC. Walaupun penat bertugas dari jam 10 hingga 6 petang tetapi aku masih boleh tersenyum kerana aku agak senang dengan kerja sebegini. Berjumpa dengan orang ramai yang berbeza-beza. Berjumpa dengan remaja yang belum tentu ke mana arah tuju. Berjumpa dengan ibu bapa yang prihatin terhadap masa depan anak-anak. Dan berjumpa dengan rakan-rakan seperjuangan yang mewakili institusi masing-masing. Kadang-kadang berjumpa dengan kawan-kawan lama yang sudah terputus hubungan.
Semalam ada seorang remaja yang singgah di petak pameran kolej dan dia terus bertanya ,
"En. Iskandar kat Kolej Legenda dulu kan?". tanyanya dengan wajah yang teruja.
"ya saya." aku menjawab.
Dan dia terus bercerita tentang dirinya sekarang. Bekerja di Petronas di bahagian Sumber manusia. Ah.. aku lupa untuk mengambil no telefonnya lantaran terlalu ramai orang di sekeliling, tetapi sempat menyerahkan kad namaku. Dulu dia belajar dalam kursus Diploma Pentadbiran Perniagaan. Sempat menyebutkan beberapa nama rakan sekelasnya dan perkembangan terkini. Sekarang ini beliau sedang mencari tempat untuk melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah. Dia meminta nasihat tentang kursus yang terbaik untuknya dan di mana dia boleh melanjutkan pelajarannya. Aku memberikan beberapa cadangan dan dia mengangukkan kepala lalu mengucapkan salam dan bergerak ke ruangan lain.
Kemudian datang pula seorang pelajar kolej yang aku bekerja sekarang ini dengan keadaan lebih teruja lagi kerana beliau telah diterima untuk melanjutkan pelajaran peringkat ijazah di UK. Dia datang bersama ibunya. Terpancar sinar kegembiraan di wajahnya. Bila anaknya memperkenalkanku..
"mak, ini lah dia En. Engku yang mak selalu telefon tu.". Dengan terkejutnya dia membalas,
"oh.. Ini En. Engku yea.. minta maaflah sebab selalu telefon menyusahkan engku..", katanya.
"eh tak delah Makcik, biasalah tu dah memang kerja saya.." jawabku.
"tahniahlah yea.. sebab dapat masuk University of Glasgow." kataku pendek kepada anaknya. Dari tadi senyuman di bibirnya tidak putus-putus, malah semakin panjang.
Sedang aku menyorong 'trolley' barang-barang pameran, gerai KUSZA menegur dan bertanya boleh tak mereka meminjam 'trolley' tersebut selepas aku selesai mengangkat barang. "tiada masalah," kataku. dan untuk itu, kami(ada 2 lagi rakan) dihadiahkan sebuah mug cenderahati yang cantik daripada KUSZA. Terima kasih banyak-banyak.
Itu antara sebab aku suka pergi ke pameran-pameran sebegitu. Akan datang ada beberapa pameran lagi. Belum pasti samada aku akan sertai atau tidak.
Semalam selepas balik dari PWTC, Ita dah Luqman tiada di rumah, pergi ke Mines dengan Mekja dan Mila. Aku duduk di depan tv menghadap berita al-Jazeera mengenai perang Iraq. Malam pun begitu. Pagi ini selepas subuh pun begitu sampai aku tertidur dan Ita kejutkan aku pada jam 7.55 pagi. Agak tergesa-gesa bersiap untuk punch in sebelum 8.15 pagi.
No comments:
Post a Comment